PAS Awang Hashim Idris Ahmad bully reporter journalist FMT Minderjeet Kaur English Bahasa Melayu are you Malaysian bully English holistic Job Carnival Pesta Kerja Dewan Negara Rais Yatim Bahasa Melayu
Awang Hashim

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini diberitahu strategi dan usaha berterusan sentiasa diambil perhatian oleh kerajaan bagi meningkatkan caruman skim perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, ia juga melibatkan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) terutama bagi individu yang terlibat dalam bidang p-hailing dan e-hailing.

Antara usaha itu ialah mengadakan sesi libat urus dan turun padang melibatkan agensi kerajaan, platform penyedia perkhidmatan ekonomi gig, persatuan, pertubuhan dan sebagainya di seluruh negara.

“Sebagai contoh, kolaborasi bersama dengan kerjasama penggiat seni, Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Agama Islam Malaysia.

“Selain itu, kerajaan negeri juga memberi kerjasama baik memastikan individu yang menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri yang terlibat dalam bidang p-hailing dan e-hailing terus dilindungi,” katanya pada sesi Jawab Lisan di Parlimen.

Beliau turut memberi contoh, kerajaan Terengganu telah memperuntukkan Belanjawan Negeri sebanyak RM200,000 setiap tahun mulai 2018 sehingga 2021 untuk menaja caruman di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada pemandu teksi, kereta sewa, bas sekolah, penghantar makanan GanuShop dan Beca.

Menurut Awang, melalui penajaan itu, seramai 1,000 rakyat Terengganu dalam perusahaan itu telah mendapat manfaat.

Di samping itu, katanya, kerajaan menerusi PERKESO turut mengadakan Memorandum Persefahaman (MoU) bersama beberapa agensi kerajaan dan platform penyedia perkhidmatan bagi memperluaskan perlindungan keselamatan sosial kepada Orang Bekerja Sendiri (OBS) seperti Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tabung Ekonomi Kumpulan Urus Niaga (TEKUN) dan MyDrebar.

“Wakil daripada jabatan, agensi dan kesatuan telah dilantik sebagai ejen SKSPS mengikut ketetapan dalam terma dan syarat bagi maksud pungutan dan penerimaan bayaran caruman.

“Ejen SKSPS juga bertanggungjawab melaksanakan aktiviti promosi, publisiti dan pemudah cara bagi tuntutan faedah skim berkenaan.

“Selain itu, publisiti meluas secara aktif melalui hebahan di media massa seperti di stesen TV dan radio serta di media cetak utama turut diperkasakan,” katanya.

Menurutnya, risalah dan klip video yang disebar luas melalui media sosial di laman sesawang PERKESO, Facebook, You Tube, WhatsApp dan Instagram terus dipergiatkan bagi memastikan kesedaran kepentingan caruman skim perlindungan PERKESO dan SIP dapat dipertingkatkan, seterusnya melindungi individu yang terlibat dalam bidang p-hailing dan e-hailing.

Menjawab soalan tambahan, Awang berkata, individu bekerja sendiri yang terlibat dalam bidang p-hailing telah diwajibkan berdaftar dan mencarum dengan PERKESO di bawah perlindungan SKSPS.

Ini katanya, selaras dengan pewartaan Peraturan-Peraturan SKSPS (kadar caruman Bagi Orang Yang Menjalankan Perkhidmatan Pengangkutan Dan Penghantaran Barangan Atau Makanan) 2021 yang berkuatkuasa 1 Oktober lalu.

Sehubungan itu, kata beliau, mana-mana OBS yang menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri dalam perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran barangan atau makanan diwajibkan mendaftar dan mencarum bermula 1 Oktober 2021.

“Mereka boleh mendaftar mana-mana pelan caruman pilihan disediakan di bawah Akta 789 bermula dengan pilihan pelan caruman sebanyak RM157.20 atau RM232.80 atau RM442.80 atau RM592.80 untuk tempoh perlindungan selama setahun.

“Dengan cara kaedah pelaksanaan wajib (mandatori) ini jaminan keselamatan sosial terhadap golongan Orang Yang Menjalankan Perkhidmatan Pengangkutan Dan Penghantaran Barangan Atau Makanan ini akan lebih terpelihara dan terjamin,” katanya. – MalaysiaGazette