Ismail Mohamed Said

KUALA LUMPUR – Kali terakhir kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) menambahbaik struktur gaji dan perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2016.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said berkata, penambahbaikan itu dibuat selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2016 di bawah Rasionalisasi Skim Perkhidmatan PDRM bagi Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Menurut beliau, perubahan itu melibatkan semua peringkat skim di PDRM iaitu Skim perkhidmatan Pegawai Kanan Polis, Skim perkhidmatan Pegawai Rendah Polis dan Konstabel, Skim perkhidmatan Pegawai Rendah Polis dan Konstabel Orang Asli serta Skim perkhidmatan Pegawai Rendah Polis dan Konstabel Sokongan.

Katanya, menerusi perubahan itu, struktur gaji anggota PDRM ditambah baik berdasarkan pariti dengan skim-skim perkhidmatan lain yang berkaitan.

“Pada masa ini, gaji terendah bagi anggota polis adalah RM1,220 iaitu gaji permulaan minimum bagi Pegawai Rendah Polis dan Konstabel Sokongan.

“Ini berdasarkan kemasukan mereka menggunakan kelayakan akademik peringkat Pentaksiran Tingkatan Tiga, Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau kelayakan yang setaraf dengannya.

“Jumlah ini adalah merujuk kepada gaji pokok tanpa mengambil kira elaun dan insentif lain yang dibayar mengikut penugasan anggota,” katanya pada sesi Jawab Lisan di Parlimen hari ini.

Kata Ismail, kerajaan dan KDN sentiasa memikirkan setiap tangga gaji, elaun dan kebajikan semua anggota bawah kementerian itu terutama PDRM.

Jelas beliau, selain kenaikan gaji, pihaknya juga membincangkan taraf pendidikan semasa memohon jawatan Konstabel, yang dinaiktaraf kepada kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang mana akan turut menyaksikan perubahan tangga gaji.

Beliau menjelaskan, walaupun gaji permulaan RM1,220, anggota Konstabel juga turut menerima pelbagai elaun.

“Contohnya, konstabel baru yang ditempatkan di Briged Tengah Kuala Lumpur selain gaji permulaan RM1,441 mengikut taraf kemasukan pendidikan, mereka juga akan menerima elaun sebanyak RM1,500.

“Maknanya setiap anggota konstabel akan menerima gaji sebanyak RM2,556 sebulan setelah dicampur dengan pelbagai elaun seperti elaun PGA, elaun bantuan tugas am, elaun perumahan, elaun imbuhan tetap, elaun bantuan sara hidup dan elaun khidmat awam,” katanya.

Selain itu, menurut Ismail, kementeriannya juga memikirkan untuk menambahkan lagi skim perumahan anggota polis di seluruh negara dengan menambahbaik, menaik taraf atau membina kuarters baharu. – MalaysiaGazette