Henry Sum Agong

KUALA LUMPUR – Pelbagai strategi dan inisiatif dirangka Kementerian Pengangkutan sebagai usaha meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam industri logistik dan pergudangan.

Perkara itu dijelaskan Timbalan Menterinya, Datuk Henry Sum Agong dengan menyatakan, selaku penggubal dasar bagi sektor logistik, pihaknya sentiasa menitik berat pembangunan sektor berkenaan secara holistik.

Ini katanya, termasuk melibatkan semua pemegang taruh memandangkan ia secara langsung mempengaruhi kadar pertumbuhan ekonomi negara.

“Strategi ini dirangka dalam Pelan Induk Logistik dan Fasilitasi Perdagangan 2015-2020, Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Usaha ini untuk menjadikan negara sebagai Malaysia-Gerbang Pengangkutan ke Asia,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pagi ini.

Menurut Henry Sum, antara strategi dan inisiatif berkaitan adalah memperkukuhkan mekanisme fasilitasi perdagangan, membangunkan infrastruktur, membangunkan permintaan fret, mendorong inovasi berasaskan ICT dan memperkukuhkan kebolehan penyedia perkhidmatan logistik.

Kata beliau, kementerian itu juga telah mengambil langkah proaktif memastikan terdapat penglibatan aktif persatuan yang mewakili pihak industri logistik secara keseluruhan dalam proses pembentukan dasar negara berhubung logistik.

Katanya, maklumat daripada Federation of Malaysian Freight Forwarders (FMFF) menganggarkan sebanyak 6,000 penghantar barang dan agen Kastam beroperasi di Malaysia tahun ini.

Daripada jumlah itu, dianggarkan sebanyak 3,500 adalah syarikat penghantar barang yang berstatus Bumiputera. – MalaysiaGazette