Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mengganggu-gugat keselamatan, kestabilan dan keharmonian negara termasuk penghinaan terhadap agama Islam dan juga mana-mana agama lain.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Tan Sri Annuar Musa berkata, kementeriannya melalui melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama polis sentiasa komited dalam usaha menangani isu itu.

Katanya, pendekatan secara kolektif juga turut diambil melalui kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN).

“Kerjasama ini meliputi aspek pengenalpastian kandungan yang berunsur kebencian terhadap agama Islam termasuk dalam aspek penguatkuasaan serta bantuan teknikal yang diberikan oleh SKMM kepada agensi penguatkuasa.

“Melalui Mesyuarat Jawatankuasa Induk PDRM-MCMC baru-baru ini, komited dalam mengukuhkan jalinan kerjasama bagi membanteras jenayah dan melindungi pengguna Internet dalam negara termasuk mengenai isu berkaitan ketenteraman awam di media sosial,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, melalui pengukuhan kerjasama itu, proses pemantapan kebolehoperasian bersama Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis (PCIRC) juga telah dimulakan.

Ini katanya, bagi memudahkan koordinasi dan penyelarasan dalam mengenalpasti kandungan yang boleh menggugat ketenteraman awam termasuk kandungan berkaitan penghinaan terhadap agama, kaum dan Institusi Beraja (3R).

“Saya juga telah meminta SKMM melihat semula SOP tindakan mereka untuk mengkaji di bawah ruang undang-undang sedia ada bagi tindakan lebih proaktif dilakukan.

“Saya difahamkan, SKMM sedang membuat rujukan kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk membolehkan pentafsiran yang jelas di bawah undang-undang sedia ada, di mana dirasakan tindakan lebih tegas dan pantas tanpa kompromi dilakukan terhadap penghinaan agama Islam dan juga agama lain,” katanya. – MalaysiaGazette