SERDANG – Seorang individu disyaki rentung manakala seorang lagi cedera dalam kebakaranmsebuah bengkel kereta di Bandar Bukit Puchong, di sini, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya yang menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 2.46 petang mengerahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong dan Cyberjaya ke lokasi kebakaran.
“Siasatan di lokasi mendapati kebakaran berlaku membabitkan sebuah bengkel membaiki kenderaan di bangunan teres dua tingkat.
“Kebakaran berlaku di tingkat bawah dan atas premis tersebut sebelum kerja memadamkan api dan mengawal kebakaran dipergiatkan oleh anggota kami,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, kebakaran dapat dikawal pada jam 3.01 petang dan penilaian awal mendapati kemusnahan dianggarkan sebanyak 80 peratus.
“Pada jam 3.28 petang anggota bomba telah menemui seorang mangsa yang rentung di bilik kecil tingkat bawah premis tersebut.
“Indentiti si mati adalah seorang lelaki berusia 34 tahun dikenali sebagai Kannadasan Veerasamy dan seorang lagi mangsa iaitu Vincent Phang Chee Wai, 50-an sempat menyelamatkan diri dan hanya mengalami kecederaan.
“Kerja-kerja mencari mangsa lain di tingkat 1 sedang dilaksanakan pihak bomba dan setakat ini hanya satu mayat rentung ditemui,” katanya. – MalaysiaGazette