Foto Facebook Muhammad Sanusi.

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengucapkan tahniah kepada skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) kerana berjaya menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 1-0 pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Johor malam tadi.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, beliau juga mengucapkan tahniah kepada pemain KDA FC yang beraksi dengan penuh semangat sepanjang perlawanan tersebut.

“Tahniah kepada JDT kerana berjaya menewaskan pasukan terbaik Malaysia, Kedah Darul Aman!

‘Tahniah juga kepada pasukan KDA FC yang pulun hingga ke tiupan wisel penamat.

“Kalah menang adat perlawanan. Bola adalah bola… Majulah Sukan Untuk Negara…,” tulis Muhammad Sanusi dalam akaun Facebook miliknya hari ini.

Pemain muda, Arif Aiman Hanapi muncul wira JDT selepas gol tunggalnya memastikan penyandang juara Piala Malaysia itu mara ke separuh akhir menewaskan KDA FC 1-0 pada suku akhir kedua semalam.

Pada separuh akhir, JDT akan bertemu dengan Terengganu FC selepas pasukan dari Pantai Timur itu mudah membenam Sarawak United 4-2 dalam aksi suku akhir kedua sekali gus melakar kemenangan 6-3 secara agregat. – MalaysiaGazette