MELAKA – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berpuas hati dengan perjalanan pengundian di lapan saluran di Sekolah Kebangsaan Telok Mas, di sini hari ini.

Beliau dan isteri Datin Sri Wangi Sujud, yang tiba untuk mengundi 9.05 pagi berkata proses berjalan lancar dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan kawalan polis dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Malah, berdasarkan perbualan saya bersama pengundi tadi, mereka juga berpuas hati dan memuji proses mengundi yang cepat seperti sebelum ini tanpa mengabaikan pematuhan SOP norma baharu.

Calon BN N23 Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan isteri Datin Sri Wangi Sujud, selesai mengundi di SMK Telok Mas jam 9.35 pagi ini.

“Keseluruhannya saya puas hati melihat proses perjalanan pengundian hari ini kerana setiap pengundi
tidak perlu mengundi lama sebelum nama dipanggil untuk masuk mengundi,” katanya.

Terdahulu, beliau meluangkan masa kira-kira 35 minit untuk meninjau proses pengundian di pusat berkenaan yang mempunyai lapan saluran mengundi.

Hari ini seramai 476,037 rakyat Melaka menunaikan tanggungjawab memilih kerajaaan sempena Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Melaka ke-15.

Sebanyak 217 pusat mengundi membabitkan 1,109 saluran dibuka tepat jam 8 pagi dengan suasana pengundian dalam norma baharu dan SOP yang ketat bagi membendung penularan wabak Covid-19.

PRN Melaka mempertaruhkan 28 kerusi DUN dan 112 calon bertanding masing-masing mewakili Barisan Nasional, Perikatan Nasional, Pakatan Harapan, Bebas, Putra dan Iman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast