MELAKA – Pakatan Harapan (PH) hari ini membuat laporan polis mendakwa seorang ejen calon pusat mengundi (PA) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek diarahkan keluar daripada saluran mengundi pagi tadi.
Calon PH DUN Ayer Molek, Mohd Rafee Ibrahim berkata, kejadian berlaku kira-kira 10 pagi tadi di saluran empat pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Bendahara Seri Maharaja, Kandang ketika PA berusia 46 tahun sedang bertugas.
Menurutnya, selepas dua jam memantau perjalanan undi, ejennya itu tiba-tiba diarahkan keluar oleh Ketua Tempat Mengundi (KTM) dengan alasan telah cukup dua jam bertugas, namun ejen parti lain yang sama-sama memulakan tugas bersamanya tidak diarahkan keluar.
“Selepas itu, pihak polis mengarahkan PA mewakili saya keluar dan sedangkan penugasan PA mengikut undang-undang, tempoh minimum atau paling singkat dibenarkan adalah dua jam.
“Memandangkan kami tidak bersedia dengan PA lain, proses pengundian tanpa PA mewakili PH diteruskan selama lebih 30 minit yang mana kita bimbang bermacam-macam perkara boleh berlaku dalam tempoh itu.
“Kita bimbang akan berlakunya penipuan atau salah guna kuasa yang mana keadaan ini juga mencetuskan kebimbangan 17,000 penyokong PH di DUN ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media tergempar di Bilik Gerakan PH Ayer Molek di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Penerangan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Ketua Unit Perundangannya, G Manivanan.
Mengulas lanjut, Mohd Rafee berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seharusnya meletakkan pegawai KTM yang cukup terlatih dan memahami klausa yang terkandung dalam Akta SPR 1954.
Sementara itu, Manivanan berkata, tindakan KTM itu bertentangan dengan Seksyen 14 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Di bawah seksyen itu, ejen calon hendaklah menghadiri pengiraan undi sekurang-kurangnya dua jam, bermakna paling kurang adalah dua jam.
“Tapi jika ejen itu mampu bertugas lebih daripada itu, gandaannya adalah paling kurang dua jam. Maksudnya boleh juga diteruskan sehingga tamat yang tidak menjadi kesalahan,” katanya.
Tambahnya hasil semakan dengan SPR juga, mereka mengakui berlaku kekhilafan yang berlaku dan berharap ianya dapat diperbaiki.
Ditanya apakah PH akan menarik semula laporan polis dibuat, beliau berkata buat masa ini belum ada keperluan menariknya laporan tersebut. – MalaysiaGazette