Hasnoor Sdg Husin

HANG TUAH JAYA – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, Datuk Hasnoor Sdg Husin bimbang peratus undi akan jauh berbeza berbanding Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) Mei 2018.

Beliau yang membuat tinjauan di pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil menyatakan kebimbangan itu berikutan suasana lengang di situ.

“Nampak proses pengundian pagi ini kalau dibandingkan dengan PRU14 kita nampak sedikit lengang dan ini mungkin kerana SPR telah meletakkan waktu dan jangka masa yang digalakkan kepada pengundi.

“Sebab itu nampak perjalanan hari ini sangat tenang dan tidak berpusu-pusu dan saya rasa peratus keluar mengundi setakat ini dibanding masa PRU14 agak rendah. Mungkin ia terkesan disebabkan pandemik Covid-19,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, hari ini.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan pengundi setakat jam 10 pagi tadi adalah pada paras 17 peratus.

Oleh yang demikian, Hasnoor berkata agak sukar untuk mencapai sasaran 70 peratus pengundi seperti mana yang disasarkan oleh SPR.

“Tapi saya yakin dan percaya pengundi akan terus keluar mengundi. Mungkin peratus keluar mengundi seperti jangkaan SPR 70 peratus mungkin tidak sampai,” katanya lagi.

Ditanya mengenai pertembungan beliau dengan calon Ketua Menteri Pakatan Harapan (PH), Adly Zahari Hasnoor berkata, beliau kekal tenang dan fokus untuk mendapatkan undi bagi memenangkan Barisan Nasional (BN).

“Setakat ini saya tenang dan tidak ada apa-apa kebimbangan kita gerakkan jentera kita setahun dahulu.

“Siapa pun yang saya tentang itu bukan persoalan. Saya sebagai orang yang berpengalaman dalam parti dan kerajaan yang diletakkan sebagai calon bagi melawan poster boy PH. Saya gembira dan sambut dengan positif,” katanya lagi.

Sehingga berita ini ditulis iaitu kira-kira jam 11 pagi peratus keluar mengundi adalah 17 peratus

Selain Adly dan Hasnoor, dua lagi calon adalah Abdul Hamid Mustapah yang bertanding atas tiket bebas, dan calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Al Afiz Yahya mewakili Pas.

Untuk rekod, kerusi DUN Bukit Katil disandang Adly dengan majoriti 3,159 undi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast