NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tingkatkan peluang penyelidikan dan penerbitan melalui kerjasama dua hala bersama International Scientific-Research Center of Imam Maturidi, Uzbekistan apabila memeterai perjanjian sefahaman (MoU) dalam mencapai misi untuk melahirkan ilmuwan, pemimpin dan profesional yang kompeten berasaskan tradisi keilmuan Islam, nilai-nilai luhur agama dan budaya demi kesejahteraan sejagat.

Antara kerjasama yang akan dijalankan bersama International Scientific-Research Center of Imam Maturidi, Uzbekistan ini termasuklah kerjasama dalam kajian dan pertukaran manuskrip sedia ada mengenai akidah, falsafah Islam, sumber Islam dan ajaran Maturidiyyah; pertukaran maklumat saintifik, kerjasama dalam kurikulum dan antara perpustakaan; kerjasama aktif dalam aktiviti penyelidikan dan penerbitan; perkongsian pengalaman antara penyelidik pusat/fakulti; perkongsian pengetahuan berkenaan pengintegrasian ilmu Naqli dan ilmu Aqli serta kerjasama lain yang berkaitan.

Naib Canselor Prof. Datuk Ridza dalam ucapannya berkata, USIM kini sedang berusaha untuk menggembleng dan mengaktifkan kerjasama dengan banyak pihak antarabangsa khususnya bagi tujuan latihan, penyelidikan dan perkongsian kepakaran.

Usaha bersepadu antara semua pihak amat diperlukan dalam melaksanakan agenda untuk memperbaiki ummah.

Justeru, ilmu, kemahiran dan nilai berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah hendaklah dikongsi ke tahap optimum dalam konteks pengajian tinggi.

”Melalui kepimpinan Institut Sains Islam (ISI) yang diketuai oleh Profesor Dr. Mohd Adnan Mohamed Yusoff, diharapkan dapat membantu meningkatkan keterlihatan USIM di peringkat antarabangsa terutamanya melalui aktiviti akademik, kerjasama penyelidikan, dan pelbagai program yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua institusi,” ujarnya lagi.

Hubungan dua hala di antara USIM bersama Institusi Pengajian Tinggi (IPT) serta pusat penyelidikan di Uzbekistan ini bukanlah yang pertama kalinya diadakan.

USIM kali pertama mewujudkan jaringan dan kerjasama akademik yang seumpamanya dengan institusi-institusi akademik di Uzbekistan adalah pada tahun 2017 apabila menerima kunjungan hormat daripada National University of Uzbekistan, diikuti lawatan kerja oleh Kedutaan Uzbekistan pada tahun 2018, kunjungan hormat Grand Ta’lim Olam pada Mac2019 dan lawatan akademik daripada Samarkand State University pada November
2019.

Daripada lawatan-lawatan tersebut, lima MoU telah dimeterai, antaranya bersama Tashkent Institute of Architecture & Civil Engineering, Samarkand State
Architectural & Civil Engineering Institute, Urgench State University, Grand Ta’lim Olam and International Islamic Academy of Uzbekistan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast