Former State Assemblyman of Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee showing his Pengkalan Batu constituency during a news conference on the Melaka state election. PIX: FAREEZ FADZIL / MalaysiaGazette / 07 NOVEMBER 2021.
Bekas ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee bercakap pada sidang media berkenaan Pilihan Raya Negeri Melaka di Pengkalan Batu, Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 07 NOVEMBER 2021.

MELAKA – Biar pun gagal mengekalkan rekod kemenangannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, bekas wakil rakyat Datuk Norhizam Hassan Baktee mahu terus membantu rakyat dengan menubuhkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau yang terkenal dengan jenama ‘YB Viral’ berkata, inisiatif itu bagaimanapun baru di peringkat cadangan terutamanya menggunakan jenama yang sudah dikenali bukan sahaja di Melaka, bahkan seluruh negara.

“Sebagai seorang yang berjiwa rakyat, saya mungkin akan menubuhkan NGO atas nama YB Viral tapi bukan bermaksud Yang Berhormat, ia adalah Yang Bekerja untuk membolehkan saya membantu rakyat.

“Saya menerima kekalahan ini dengan hati terbuka kerana rakyat sudah pun memilih namun berharap wakil rakyat baharu dapat melaksanakan tanggungjawab ini sebaik-baiknya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata fokus utamanya ketika ini adalah untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga setelah lebih tiga tahun membantu rakyat di Melaka selama ini.

“Apapun biarlah saya berehat dahulu bersama keluarga kerana terlalu asyik berkorban jiwa dan raga membantu rakyat selama ini. Cukuplah saya berehat seketika, pencen pun dah ada.

“Cuma saya berharap, orang ramai hentikanlah tohmahan terhadap saya kerana apapun yang saya lakukan selepas ini ianya tidak mengganggu rakyat dan mana-mana individu,” katanya.

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam menyaksikan bekas ADUN Pengkalan Batu itu yang bertanding sebagai calon bebas meraih 1,218 undi.

Jumlah undian itu bagaimanapun adalah tertinggi meninggalkan 22 calon Bebas lain termasuk yang terendah mendapat 23 undian.

DUN Pengkalan Batu yang menyaksikan pertembungan lima penjuru dimenangi Datuk Kalsom Nordin yang mendapat 4,839 undi mewakili Barisan Nasional (BN).

PRN Melaka menyaksikan pertandingan 112 calon bagi merebut keseluruhan 28 kerusi DUN.

Semua 28 calon masing-masing daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) (lima), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) (satu) dan Bebas (22). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast