SUBANG – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu lalu adalah bukti rakyat masih menyokong BN dan UMNO.
“Terima kasih kepada orang Melaka yang telah memberi sokongan kepada BN.
“Nampaknya itu satu tanda yang dinamik dalam politik, selepas daripada empat tahun mereka kembali menyokong BN dan UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Pusat Simulasi Penerbangan Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) dan Majlis Pelancaran Siri Bicara Menteri di Kampus Subang di sini hari ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai cadangan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat, Mahdzir berkata, perkara tersebut akan dibincangkan oleh kepimpinan tertinggi parti bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar itu, segala pandangan yang dilontarkan terutamanya hal-hal berkaitan PRU15, keputusannya hanya akan diputuskan oleh Ismail Sabri.
“Saya ingat apa pun pandangan itu tentu lah beliau (Tok Mat) akan berbincang dengan Perdana Menteri sebab keputusan akhir itu Perdana Menteri akan membuat keputusan. Jadi saya pasti kepimpinan tertinggi parti juga akan berbincang secara serius dengan Perdana Menteri.
Semalam, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan supaya PRU15 perlu dipertimbang untuk diadakan dalam masa terdekat.
Beliau berkata, pihaknya menyuarakan perkara itu kepada Ismail Sabri sebaik saja BN memenangi PRN Melaka dengan mengambil kira sentimen rakyat ketika ini. – MalaysiaGazette