KUALA LUMPUR – Kerajaan sentiasa menjaga kebajikan anggota dan pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan menaikkan kadar elaun yang lebih tinggi berbanding organisasi lain.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, elaun itu dinaikkan ketika seluruh anggota APM terlibat sebagai barisan hadapan ketika pandemik Covid-19.
Katanya, bagi anggota lain-lain pangkat diberi elaun RM8 sejam dengan maksimum 12 jam bertugas manakala pegawai berpangkat Staf Muda ke atas dibayar RM9.80 sejam.
“Tidak timbul soal peruntukan untuk APM ini naik tahun ini dan berkurangan tahun depan, kerana naik turun peruntukan itu bergantung kepada tugasan dan musim.
“Sebagai contoh, tahun 2021 APM diperuntukan sebanyak RM154 juta, tetapi untuk tahun 2022 peruntukan dikurangkan kepada RM140 juta. Kenapa? Sebab 2021 anggota terlibat membantu kerajaan menangani pandemik Covid-19.
“Tahun 2022 pula kerana angka kes makin lama makin turun, maka tugasan mereka tidak lagi diperlukan. Pusat Pemberian Vaksin (PPV) juga sudah banyak ditutup, begitu juga pusat kuarantin,” katanya menggulung perbahasan bajet bagi Jabatan Perdana Menteri di peringkat jawatankuasa di Parlimen petang ini.
Menurut Dr. Abdul Latiff, APM sehingga kini mempunyai kira-kira 40,000 anggota lain-lain pangkat dan 4,000 pegawai.
Kata beliau, daripada 4,000 pegawai itu, 1,000 berada di pusat, manakala 3,000 lagi di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Mengenai soalan yang bertanya tidakkan kerajaan bercadang untuk menaikkan lagi kadar elaun itu, katanya, kadar itu dianggap terbaik berbanding diterima anggota Rela dan Askar Wataniah.
“Kadar elaun untuk APM ini sudah naik. Dinaikkan ketika pandemik Covid-19 tahun lalu dan ini menunjukkan kerajaan amat menjaga kebajikan mereka,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan sedang merancang untuk menambah aset APM memandang suasana Monsun Timur Laut yang menyebabkan banjir dan musim tengkujuh sudah tiba. – MalaysiaGazette