GEORGE TOWN – Sesi pembukaan sekolah secara bersemuka di sekitar Pulau Pinang hari ini berjalan lancar.
Pembukaan sekolah itu mengikut ketetapan pengoperasian Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bermula hari ini.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati rata-rata pelajar memakai pakaian seragam sekolah yang lengkap walaupun kerajaan membenarkan mereka memakai pakaian biasa yang sesuai, kemas serta sopan untuk hadir ke sekolah jika belum mempunyai pakaian seragam sekolah.
Selain itu, beberapa guru dilihat menunggu di pintu masuk sekolah bagi melakukan saringan imbasan suhu serta sanitasi tangan pelajar sebelum membenarkan mereka memasuki kawasan sekolah.
Bapa kepada pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (L) Al Mashoor, Zahrul Azzman Abdul Aziz berkata, hari ini merupakan hari pertama anak lelakinya memulakan pembelajaran secara bersemuka sebagai pelajar sekolah menengah.
Katanya, persiapan untuk melangkah kaki ke sekolah menengah sudah dibuat tahun lalu namun semuanya tidak digunakan akibat Covid-19 selain pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selama ini.
“Persiapan hari ini tidak kelam kabut memandangkan semua persediaan untuk anak saya ke sekolah sudah dilakukan lebih awal.
“Cuma beza kali ini, dia sudah tingkatan dua namun merupakan hari pertama ke sekolah untuk belajar secara bersemuka,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di pekarangan sekolah di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong yang turut melakukan pemantauan di sekolah berkenaan berkata, pihaknya menempatkan pegawai perhubungan sekolah (PPS) di 173 sekolah bagi daerah Timur Laut.
”Penempatan PPS dilakukan bagi memantau tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“PPS akan hadir ke sekolah termasuk sekolah menengah yang dibuka sekurang-kurangnya dua kali sebulan bagi membuat pemantauan,” kata beliau. – MalaysiaGazette