PARIS – Sebuah manuskrip dengan pengiraan yang dibuat oleh Albert Einstein semasa dia cuba merumuskan teori relativiti dilelong pada harga €11 juta (RM52 juta).
Penjualan di rumah lelong Christie di Paris itu memecahkan rekod untuk dokumen saintifik yang ditandatangani.
Ia adalah salah satu daripada dua kertas kerja yang menunjukkan kerja ahli fizik teoretikal mengenai kejayaan saintifiknya yang hebat.
Teori yang diterbitkan pada tahun 1915 mengubah pemahaman manusia tentang ruang, masa dan graviti.
Manuskrip pengiraan ditulis antara 1913 dan 1914 oleh Einstein dan rakan sekerjanya dari Switzerland, Michele Besso yang menyimpan dokumen itu.
“Einstein adalah seseorang yang menyimpan sedikit nota, jadi fakta bahawa manuskrip itu terselamat dan sampai kepada kita sudah menjadikannya luar biasa,” kata Vincent Belloy, seorang pakar di rumah lelong tersebut.
Kertas itu mengandungi pengiraan dan menurut Encik Belloy, ia menunjukkan beberapa kesilapan dalam proses untuk merumuskan teori.
Penjualan itu telah menarik pengumpul dari seluruh dunia yang menyedari kepentingan dokumen tersebut.
Bagaimanapun pembeli kertas setebal 54 muka surat itu belum didedahkan, lapor BBC.
Teori relativiti Einstein memberi penerangan tentang kelahiran alam semesta, orbit planet dan lubang hitam.
Pada Mei lalu sepucuk surat yang ditulis oleh Einstein yang mengandungi teori yang paling terkenal, E=mc², dijual pada harga lebih $1.2m (RM5.6 juta). – BBC News