ISKANDAR PUTERI – Cadangan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi membolehkan solat jemaah di masjid dan surau negeri ini dilakukan tanpa penjarakan sosial akan dibentangkan kerajaan negeri tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi yang akan mempengerusikan mesyuarat bersama Jawatankuasa Dakwah Negeri Johor dan Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Negeri Johor memberitahu, cadangan melengkapkan kertas berkenaan akan dilakukan pada minggu hadapan.
Kertas cadangan itu kemudiannya akan dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bagi mendapatkan perkenan baginda.
Beliau berkata, ramai bertanyakan mengenai waktu sesuai solat jemaah di masjid dan surau di negeri ini dapat kembali seperti dahulu, tanpa penjarakan sosial selepas Johor memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Kita menjangkakan mudah-mudahan dengan izin Allah awal Januari depan, kita akan mulakan tatacara baru yang mana SOP dalam era endemik. Insyallah.
“Kita juga akan pastikan semua pegawai masjid bilal dan noja sudah divaksin lengkap bagi mengelakkan perkara-perkara tidak dijangka.
“Dalam tatacara terbaru kita akan mengambil kira perkembangan terkini dan akan mengikuti SOP yang ditetapkan kepada kami oleh pihak masjid, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum pihak kami membawa kertas maklum untuk di bawa kepada tuanku untuk perintah berkenan kepada di bawah Duli Tuanku dalam SOP masjid dan perkara berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di sini, hari ini.
Sejak bulan lalu, Johor membenarkan jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau negeri itu mengikut kapasiti ruangan dengan mematuhi penjarakan fizikal satu meter.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada 13 Oktober lalu, Johor turut membenarkan solat fardhu dan solat jenazah mengikut kapasiti satu pertiga ruangan solat masjid dan surau dengan penjarakan fizikal satu meter.
Sementara itu, Tosrin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, SOP baharu solat berjemaah terutama kapasiti penuh tanpa penjarakan fizikal tertakluk pada situasi semasa Covid-19 di negeri tersebut.
“Namun, SOP sedia ada terutama jemaah perlu lengkap dua dos vaksin masih dikekalkan walaupun SOP baharu akan dilaksanakan Januari nanti.
“Kita juga akan pastikan semua pegawai masjid dan surau negeri ini terutama imam, bilal dan noja sudah lengkap divaksin, bagi elak perkara luar jangka,” katanya. – MalaysiaGazette