KUALA LUMPUR – Peluang masih kekal terbuka buat Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam mencari slot ke pentas akhir TM Piala Malaysia 2021 apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, pada Isnin lalu.
Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain berkata, dia sama sekali tidak memikirkan kelebihan besar kepada JDT biarpun mereka berjaya menjaringkan satu gol di laman lawan.
Jelasnya, mereka akan terus mengamalkan corak permainan menyerang apabila bermain di Stadium Sultan Ibrahim dan akan berusaha sedaya mungkin memberikan cabaran kepada JDT.
“Secara keseluruhan, separuh masa pertama kita bermain dengan baik dan punyai dua ke tiga peluang untuk menjaringkan gol cuma di babak kedua, segalanya berubah apabila kita tidak dapat mengawal permainan.
“Kita banyak kehilangan bola di bahagian tengah dan sememangnya kita tahu, bukan mudah untuk rampas penguasaan bola dari JDT tetapi kita dapat bertahan dengan baik.
“Sekarang peluang masih terbuka dan kita perlu menjaringkan gol di sana kerana mereka ada gol di laman lawan namun dalam masa sama kita kena elakkan dibolosi.
“Saya tidak rasa JDT akan main secara bertahan kerana mereka sememangnya dikenali sebagai pasukan yang menyerang dan kita juga kena tampil dengan rentak sama, ” katanya.
Dalam perlawanan kelmarin, Jordan Mintah meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit kelapan sebelum Bergson da Silva memadamkan kelebihan dimiliki tuan rumah menerusi gol penyamaan pada minit ke-50. – MalaysiaGazette