Idris Ahmad
Senator Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Kerajaan menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengaitkan banyak institusi tahfiz swasta ditutup kerana tiada peruntukan kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, kerajaan telah menetapkan 20 strategi dan 32 inisiatif dalam Pelan Tindakan Dasar Pendidikan Negara bagi memulihkan sektor itu akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata demikian dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Parlimen dan menjawab soalan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah (PH) yang menyoal langkah kerajaan dalam membantu institusi pendidikan Islam yang terjejas.

Menurut Idris, berdasarkan maklumat yang disahkan pihak berkuasa agama negeri, hakikat penutupan institusi tahfiz swasta berdaftar hanyalah bersifat sementara bagi mematuhi arahan kerajaan supaya rantaian wabak Covid-19 dapat diputuskan.

“Pada tahun 2021, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM100 juta secara one-off bagi tujuan selenggara dan naik taraf institusi pendidikan Islam merangkumi sekolah agama, institusi tahfiz dan pondok,” katanya.

Menurut Idris, sebnayak RM60 juta telah disalurkan kepada 1,066 buah institusi yang layak dan daripada jumlah tersebut sebanyak lebih RM22 juta diagihkan kepada 413 buah institusi tahfiz negeri-negeri di seluruh negera setakat Ogos ini.

Tambahnya lagi, baki RM40 juta telah diterima pada Oktober dan sedang diuruskan untuk pengagihan secepat mungkin bagi tujuan membantu kos pengurusan dan pengoperasian.

Kerajaan turut bercadang untuk memperkasa bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kepada pengusaha dan murid tahfiz bagi membolehkan penjanaan pendapatan sendiri agar tidak terlalu bergantung kepada sumbangan kerajaan dan masyarakat. – MalaysiaGazette