KUALA LUMPUR – Polis akan mendakwa tiga suspek termasuk seorang wanita di mahkamah esok bagi siasatn kes sindiket penipuan pengubahsuaian rumah dan memperdaya 40 mangsa baru-baru ini.
Penipuan itu membabitkan kerugian berjumlah RM84,550 melibatkan empat mangsa yang tampil membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dua suspek direman selama empat hari iaitu seorang warga Bangladesh dan seorang lagi warga Singapura yang berusia 40 hingga 50-an akan dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.
“Untuk makluman semua suspek dalam kes ini akan dituduh pagi esok di Mahkamah Kuala Lumpur.
“Manakala suspek ketiga, seorang wanita tempatan pula akan ditangkap esok dan akan terus didakwa di mahkamah serentak dengan dua suspek lain kerana wanita telah memberi kerjasama kepada polis dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
Malah katanya, wanita itu merupakan pemegang akaun bank yang mana segala wang diperoleh sindiket menerusi penipuan ubahsuai rumah yang didalangi suspek warga Singapura bernama Andy Ong Chee Siong, 47, akan dimasukkan dalam akaun simpanannya.
Mengenai status terkini pencarian suspek utama itu yang menyamar dengan nama Hugo dan Peter, Eng Lai menambah suspek masih diburu polis.
“Usaha mengesan suspek utama yang masih bebas di luar itu masih diteruskan dan kami yakin dapat mencekup suspek segera,” katanya lagi.
Semalam, Eng Lai memaklumkan kejayaan pihaknya menumpaskan sindiket berkenaan yang telah memperdaya 40 mangsa kebanyakan terdiri daripada golongan profesional juruaudit, jurutera dan doktor.
Ujarnya lagi, suspek utama yang memainkan peranan utama di sebalik penipuan pengubahsuaian rumah dengan menggunakan nama Peter dan Hugo akan menghubungi mangsa menerusi telefon dan menawarkan pakej pengubahsuaian dalaman rumah dengan menawarkan perabot serta barangan elektrik selain mendapatkan penyewa untuk mangsa.- MalaysiaGazette