Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai menunjukkan gambar suspek yang dikehendaki dalam kes penipuan ubah suai rumah ketika di Ibu Pejabat Daerah Sentul, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 24 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Satu sindiket penipuan mengubahsuai rumah yang memperdayakan mangsa dengan menawarkan pakej perabot dan barangan elektrik tumpas berikutan tertangkapnya dua anggota sindiket tersebut.

Pelanggan yang terpedaya mendapati barangan yang ditawarkan tidak seperti yang dijanjikan setelah kerja-kerja pengubahsuaian rumah mereka selesai.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, sindiket yang didalangi tiga warga asing itu disyaki telah memperdaya 40 mangsa yang kebanyakannya kerja profesional iaitu Juruaudit, jurutera dan doktor serta ia telah aktif sejak Januari lalu.

Katanya, polis telah membuka empat kertas siasatan pada 3 November lalu selepas menerima aduan daripada empat mangsa yang tertipu dengan kerugian berjumlah RM84,550.

Ujarnya lagi, suspek utama yang memainkan peranan utama di sebalik penipuan pengubahsuaian rumah dengan menggunakan nama Peter dan Hugo akan menghubungi mangsa menerusi telefon dan menawarkan pakej pengubahsuaian dalaman rumah dengan menawarkan perabot serta barangan elektrik selain mendapatkan penyewa untuk mangsa.

“Mangsa yang berminat dan terjerat dalam penipuan sindiket ini akan membuat bayaran setelah mencapai persetujuan pakej dengan suspek dan selepas bayaran dibuat, mangsa ditunjukkan gambar dan video perabot dan barangan elektrik yang dipasang dalam rumah mangsa seperti mana dipersetujui awal pakej pengubahsuaian rumah.

“Namun selepas mangsa masuk rumah mendapati barangan perabot dan elektrik yang diletakkan sindiket tiada seperti ditunjukkan dalam gambar pada awal kerja pengubahsuaian.

“Siasatan polis mendapati, sindiket berkenaan mengambil semula segala perabot dan barangan elektrik yang dipasang di rumah mangsa tanpa pengetahuannya dan memasang di rumah mangsa lain untuk meneruskan taktik penipuan sama,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai menunjukkan perabut yang dirampas dalam kes penipuan ubah suai rumah didalangi warga Singapura ketika Sidang Media di Ibu Pejabat Daerah Sentul, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 24 NOVEMBER 2021.

Tambah beliau, pada 5 November lalu, pasukan polis membuat tangkapan ke atas dua warga asing disyaki ahli sindiket berkenaan di hadapan sebuah apartmen di Pantai Dalam, di sini yang mana ia membantu pihaknya menyelesaikan empat kes penipuan.

Menurut Eng Lai, dalam tangkapan berkenaan, pasukannya merampas dua set katil, satu set meja makan, peti ais, sebuah mesin basuh, satu set sofa dan dua set kain langsir serta dua set tilam yang digunakan sindiket itu untuk memperdayakan mangsa.

“Hasil soal siasat ke atas mereka, dalam pengakuan awal kedua-dua suspek, mereka telah memperdaya dan menipu lebih kurang 40 mangsa melibatkan 40 rumah di sekitar ibu negara,” ujarnya.

Jelasnya, suspek ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum 10 tahun dengan sebatan selain dikenakan denda.

Eng Lai berkata, suspek utama sindiket ini adalah seorang warga Singapura, Andy Ong Chee Siong, berusia 47 tahun yang masih bebas dan sedang diburu manakala dua warga asing iaitu masing-masing warga Bangladesh dan Singapura melakukan penipuan di lapangan.

Sementara itu, beliau memberitahu, terdapat kes yang mana selepas 80 peratus kerja pengubahsuaian siap, suspek menukar kunci rumah mangsa atas alasan untuk melindungi barang berharga yang dipasang daripada dicuri kontraktor.

Namun katanya, suspek menghilangkan diri selepas itu dan mangsa mendapati perabot dan barangan elektrik hilang dan kini polis sedang giat memburu Chee Siong. – MalaysiaGazette