LONDON – Pencarian pengurus sementara oleh Manchester United sejak Ole Gunnar Solskjaer meninggalkan kelab pada Ahad lalu akhirnya mendapat penyelesaian.
Laporan di Manchester memaklumkan The Red Devils telah mencapai terma dan perjanjian bersama Ralf Rangnick untuk menjadi pengurus sementara di Old Trafford.
Berita itu telah tular di media di serata Eropah dan dunia sekaligus menjadi topik perbincangan ratusan juta penyokong kelab itu.
Dengan terma baharu itu, Rangnick difahamkan telah bersetuju untuk menguruskan kelab itu selama enam bulan sehingga akhir musim Liga Perdana Inggeris 2021/22 iaitu sehingga Mei 2022.
Terdahulu, usaha kelab berkenaan menawarkan pakej kepada Mauricio Pochettino telah ditolak oleh pemilik kelab Paris Saint Germain Isnin lalu.
Malahan, Pengurus Leicester City, Brandan Rodgers juga menolak pelawaan Man United dan menyatakan komited bersama the Foxes.
Rangnick, 63, dikenali sebagai legenda kejurulatihan bola sepak moden di Jerman dan dijangka meninggalkan tugasnya sebagai Pengarah Pembangunan dan Sukan di kelab Liga Rusia, Lokomotiv Moscow untuk mengambil alih tugas pengurus sementara di Theatre Of Dreams.
Sebelum ini, Rangnick telah ditawarkan kontrak pertama untuk mengambil alih jawatan pengurus interim namun ditolaknya sebelum bersetuju dengan terma baharu Manchester United.
Bagaimanapun beliau tidak sempat turun ke OLd Trafford sebelum perlawanan seterusnya menentang pendahulu EPL, Chelsea yang akan dikendalikan oleh Michael Carrick atas masalah permit kerja ke England.
Pemilik Manchester United kini sedang menunggu tindakan kelab semasa Rangnick bersetuju untuk menamatkan kontrak dan melepaskan Rangnick.
Empat lagi calon pengurus sementara yang disenarai pendek Ed Woodward yang mengetuai pemilihan pengurus baharu adalah Rudi Garcia, Lucien Favre, Paulo Fonseca and Ernesto Valverde.
Namun kesemua calon berkenaan telah diketepikan dengan keputusan terkini membabitkan Rangnick.
Malah, Man United juga dikatakan sudah memuktamadkan Pengurus Ajax, Erik ten Hag untuk dilantik sebagai pengurus tetap selepas tugas Rangnick selesai pada Mei tahun depan.
Woodward dilaporkan telah membuat keputusan itu selepas mengambil kira rekod kejurulatihan luar biasa Erik yang memiliki 74 peratus rekod kemenangan berbanding calon-calon lain yang disenarai pendek sebelum ini. – Agensi