Mohamad Hassan
Mohamad Hassan

KUALA LUMPUR – Sebaik Perikatan Nasional (PN) terbentuk, Muafakat Nasional (MN) sudah tidak lagi berseri.

Ia sudah tidak ada penarik dan seperti sudah tidak ada erti, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Sebahagian dari pendukung MN tiba-tiba cenderung melihat PN sebagai jalan pintas untuk berkuasa. Mantera perpaduan ummah, laungan penyatuan merentas politik, hilang dan dilupakan.

“Ramai yang mula dibuai kerusi empuk dan berasa enak memegang tampuk kekuasaan. MN secara perlahan-lahan seakan dilepas dan dilupakan. Seolah-olah semua masalah dan kepentingan Melayu-Islam itu telah selamat dalam dakapan PN,” katanya dalam hantaran di media sosialnya hari ini.

Menurut Mohamad, perpaduan ummah itu penting tetapi ia haruslah diperjuangkan secara berterusan dan terangkum dan bukan bermusim.

“Ia mesti diusaha dan dijayakan sepanjang masa. Bukannya sekadar berbincang dan bermesyuarat demi sebuah pilihan raya dan menguasai Putrajaya semata-mata.

“Permuafakatan MN juga harus praktikal dan realistik. UMNO adalah parti politik. Ia bukan pergerakan sivil atau dakwah. Ia adalah instrumen untuk orang Melayu mengurus negara. Ia adalah parti teras BN dengan agenda kepelbagaian budaya dan ia mempunyai kepentingan politik tersendiri. Seperti juga Pas. Ia adalah parti politik dengan perjuangan tersendiri, ideologi tersendiri dan kemahuan tersendiri,” ujarnya.

Kerana itu, menurut Mohamad, UMNO tidak pernah mengajak Amanah dan PKR mahu pun PBB di Sarawak untuk menyertai MN.

Ini kerana UMNO realistik dan memahami sejarah Pas dengan Amanah dan menghargai kelainan PKR dan PBB.

“Maka demikianlah yang berlaku dalam PRN Melaka. Pas telah memilih PN dan UMNO menerima keputusan tersebut. Dengan hati terbuka, dan sedikit terluka.

“Kerana UMNO sejak awal faham. Ia tidak boleh meletakkan MN sebagai penghalang kerjasama politik antara Pas dan PPBM. Dan Pas pula tidak boleh menggunakan MN untuk memaksa UMNO menerima PPBM kerana kami adalah seteru politik yang nyata.

“Namun, itu tidak bermakna MN itu akan ditinggalkan dan sudah tidak relevan. Pas teruslah dengan PN dan UMNO pula teruslah dengan BN. Tetapi jika ada kemaslahatan ummah yang memerlukan UMNO dan Pas bertemu dan berbincang, MN harus menjadi arenanya.

“Sebenarnya orang Melayu tidaklah berpecah dengan teruk. Kesatuan antara UMNO dan Pas melalui MN pula bukanlah bermakna orang Melayu telah bersatu dan ummah menjadi kuat.

“Puluhan juta orang Melayu di luar sana tidak pun menganggotai UMNO atau Pas namun, itu tidak bermakna mereka tidak mementingkan perpaduan dan masa depan ummah ini,” katanya.

Sesungguhnya, perpaduan ummah bukan hanya perpaduan antara UMNO, Pas dan PPBM, katanya.

Ia merangkumi permuafakatan semua yang merentas logo, bendera dan parti.

“Biar rambut kita beraneka warna, yang penting, hati kita pada bangsa dan agama,” ujarnya.- MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Meang sepatutnya pas tidak bersama umno . Kerana seumpama orang baik dengan orang jahat tak patut tinggal disebuah rumah. Tapi pas memandang kuasa dan harta dunia dia lupakan yang sepatutnya dia tidak lakukan .
    Orang ugama tidak semestinya lupakan dunia tapi jangan melampau .

  2. UMNO kaki lepat.. MN bukan berdaftar la. Nak suruh PAS duduk MN tapi UMNO sendiri bertanding bawah BN. Kalau PAS bertanding atas tiket sendiri, cakap PAS lupa MN. Kalau PAS bertanding atas tiket PN yg dah berdaftar.. pun akan cakap yg sama.
    Sebenarnya diorang tak nak PAS bertanding. UMNO kaki lepat..

Comments are closed.