KUALA LUMPUR – Pemimpin UMNO bersetuju dengan pandangan Pas bahawa penyatuan ummah tidak seharusnya terikat dengan kelompok tertentu.
Lantaran itu, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah bertanya, agak-agak Pas bersetuju tak jika Parti Amanah Nasional (PAN) bersama dalam penyatuan ummah itu.
“Parti yang dikatakan berlandaskan Islam atau sebagai orang Islam pastinya akan menjawab dan berhukah dengan bahasa yang baik dan sopan kan?
“Sesuai dengan imej kita orang Islam – so berhujahlah dengan baik ya…,” kata Shamsul Anuar lagi dalam kenyataan di Facebook.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Dewan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang berkata, sayap parti itu mendukung penuh kenyataan Presidennya Abdul Hadi Awang mengenai pendirian parti itu dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, aspek yang paling besar dalam memperkukuh penyatuan ummah adalah menyatukan masyarakat Melayu dan Islam serta Bumiputera yang majoriti, serta mesti melibatkan semua pihak bagi meraikan kemajmukan masyarakat di Malaysia.
“Penyatuan ummah tidak boleh terhad kepada sesetengah kelompok sahaja, ia mesti bergerak selari,” katanya.
Sebelum ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu menolak gagasan Muafakat Nasional (MN) yang terbelenggu dengan pembabitan hanya UMNO dan parti itu sahaja.
Katanya, Pas juga menolak fahaman yang menafikan adanya masyarakat majmuk yang wajib ditangani oleh gagasan yang lebih besar iaitu Perikatan Nasional (PN).
Abdul Hadi berkata, gagasan MN yang ada perlu diubah bentuk dan ikatannya kerana berlakunya perubahan situasi dan realiti. – MalaysiaGazette