KUALA LUMPUR – Penyanyi, Mawi berkongsi pengalaman pernah berdepan penyakit misteri hingga membuatkan dia ‘hilang’ sekejap daripada radar industri hiburan.
Dia yang juga pengarah filem menjelaskan, insiden terbabit berlaku pada 2015 apabila darah tiba-tiba keluar dari mulutnya dengan begitu banyak.
“Kejadian berlaku sewaktu saya gosok gigi. Bila buang bahan kumur dalam mulut, yang keluar adalah cecair berwarna merah iaitu darah.
“Pada awal saya ingatkan hanya gusi yang berdarah. Tapi darah tetap keluar dengan banyak bila saya terus berkumur lagi,” katanya yang berusia 38 tahun.
Tambahnya yang popular ketika Akademi Fantasia musim ketiga, keadaan itu memaksanya mendapatkan rawatan di hospital.
Apa yang menghairankan, katanya, pemeriksaan kesihatan turut dilakukan namun tidak mengesan sebarang penyakit dalam dirinya.
“Bila baring, tiba-tiba rasa ada benda mengalir di tekak. Kemudian saya cuba buang air namun darah makin lama makin banyak yang keluar dari badan.
“Akibatnya, saya tak boleh nak baring mahupun tidur secara duduk. Bila pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan, doktor beritahu tak dapat kesan apa-apa,” kata bapa kepada seorang anak ini.
Perkongsian Mawi itu dilakukan pada sesi Instagram Live berjudul Pengarah Tanpa Gagal anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) baru-baru ini.
Sesi yang diadakan melalui akaun Instagram Wartawan Hiburan itu diadakan bagi menyemarakkan sambutan Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM-31) yang bakal berlangsung pada 10 Disember ini.
Moderator yang terlibat dalam sesi berkenaan ialah bekas wartawan Melodi, Nik Syafik dan bekas wartawan Muzik Muzik, Mohd Faris.
Sesi itu turut disertai pengacara terkenal, Aznil Nawawi yang dijemput oleh moderator selepas setengah jam siaran berlangsung.
Juara Akademi Fantasi musim ketiga itu berkata, selepas kejadian dialaminya, muncul pula gangguan lain yang lebih menghairankan yang berlaku pada hari sama.
Menurutnya, dia mengalami hilang ingatan selama beberapa minit.
“Hari sama lepas Asar, darah keluar lagi, sampai saya rasa seperti mati sekejap. Lepas tu saya rasa ada benda masuk dalam kepala saya semula.
“Bila mata terbuka, saya langsung tak kenal atau tak ingat siapa di sekeliling. Ada seorang wanita sedang menangis sambil pegang saya. Masa tu terfikir siapa pula perempuan ni.
“Rupa-rupa isteri saya yang sedang menangis. Saya alami hilang ingatan sekejap sampai tak kenal isteri mahupun anak. Kejadian berlaku dalam 15 minit hingga setengah jam.
Menurut pengarah filem Tiada Tajuk itu lagi, susulan kejadian misteri yang dialami, dia turut mengalami masalah kesihatan dalaman.
Katanya, dia menerima banyak gangguan misteri hingga nampak perkara bukan-bukan.
“Saya sampai nampak benda bukan-bukan. Bila perkara itu berlaku, akan ada cecair lendir keluar, dah macam lava, penuh satu badan. Berbau busuk pula tu,” katanya. – MalaysiaGazette