Afieq Shazwan.

KUALA LUMPUR – Lagu Layu Di Hujung Mekar yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Rio kini kembali menghantui  pendengar apabila dinyanyikan semula oleh Afieq Shazwan.

Setelah empat hari dilancarkan di Youtube rasmi FMC Musi, jumlah tontonan kini hampir mencecah ke 500,000  dan menjadi trending.

Afieq, 24, bersyukur kerana pecubaan ‘lagu berhantu’ tahun 90-an mendapat sambutan dan sokongan dari pencinta muzik tanah air.

“Saya rasa sangat gembira. Selain meminat lagu itu, saya juga dapat menonjolkan kelainan dan kemampuan vokal saya menyanyikan lagu-lagu balada dan bernada tinggi.

“Asalnya saya nyanyi lagu ini sekadar suka-suka sahaja. Ketika menyanyi lagu ni saya rakan dan siarkan di Instagram (IG) Story.

“Namun maklum balas dari pengikut IG dan peminat sangat positif dan mereka minta saya buat lagi lagu-lagu cover ini.

“Sebenarnya lepas muat naik lagu ini di IG Story, baru saya tahu lagu ini juga di terbitkan oleh syarikat rakaman FMC Music juga. Jadi bila berbincang dengan FMC Music, kami bersepakat untuk record semula lagu ini,” katanya yang juga pelajar Sarjana Muda Perniagaan di Management and Science University (MSU).

Sebelum Layu Di Hujung Mekar, lagu Malam Semakin Dingin duet Afieq bersama Tajul juga tular dan telah mencecah 15 juta tontonan juga di Youtube rasmi FMC MUSIC setelah dilancarkan dua bulan lalu.

Afieq menambah, selepas melihat impak lagu Malam Semakin Dingin dan Layu Di Hujung Mekar, dia yakin selera pendengar dan penggemar muzik di Malaysia kini masih lagi sukakan genre lagu-lagu irama 90-an.

Jelas peserta program Big Stage musim pertama itu, selepas lagu itu dilancarkan, ramai peminat yang memberi sokongan dan mereka membertahu menggemari lagu itu yang sedap didengar dan malar segar.

“Mereka mahu banyak lagi dan kalau kita pergi ke pusat karaoke pun kebanyakan mereka yang berkunjung ke situ akan memilih lagu-lagu yang sebegini untuk dinyanyikan.

“Saya berterima kasih kepada FMC Music kerana percayakan bakat saya dan saya juga turut berterima kasih pada semua yang menyokong kerjaya nyanyian saya.

“Doakan semoga saya terus sukses dan dapat melebarkan sayap kerjaya saya sebagai penyanyi dan pelakon,” katanya.

Lagu Layu Dihujung Mekar versi Afieq Shazwan telah dilancarkan di Youtube rasmi FMC Music serta semua platform music pada 26 November yang lalu.

Pada Disember 2019, Afieq turut melancarkan single terbaharu, Lelaki Di Telefon. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast