KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen pembangkang mendesak supaya kerajaan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Kabinet bagi menangani isu kenaikan harga barangan keperluan.
Menurut Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub, isu kenaikan harga barang kini merupakan isu nasional yang tidak lagi dapat disembunyikan.
“Sebagai bekas menteri pertanian, petang ini saya akan memasukkan usul (di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat) meminta kerajaan supaya menubuhkan satu jawatankuasa khas kerana ini bukan satu isu yang boleh ditangani oleh KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) sahaja.
“Sekiranya usul ini diterima, saya akan bahas pada hari Khamis untuk mewakili rakyat Malaysia yang sedang menghadapi isu yang sangat serius ini,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Parlimen hari ini.
Terdahulu Salahuddin menerima sepucuk surat rayuan yang ditulis tangan oleh seorang peniaga kecil, Syamsuri Mohd Zin yang meminta surat berkenaan diserahkan kepada menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Hadir sama, Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dan Ahli Dewan Undangan Negeri Taman Templer, Mohd Sany Hamzan.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pulai itu berkata, jawatankuasa khas berkenaan harus melibatkan sekurang-kurangnya empat kementerian iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia atau Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“Mesti ada task force untuk tangani perkara ini, kalau penting dan perlu Perdana Menteri sendiri yang mengetuainya. Kalau tidak isu ini tidak akan dapat diselesaikan secara tuntas,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mahfuz berkata, rakyat ketika ini seolah-olah sedang berada dalam situasi pertembungan dengan para peniaga ekoran kenaikan harga barang yang melampau.
Menurut ahli Parlimen Pokok Sena itu, kerajaan ketika ini mengambil masa yang terlalu lama untuk menstabilkan dan mengawal harga barangan keperluan.
“Sepatutnya mereka sudah dapat mengenal pasti isu kenaikan harga barang ini kenal pasti apa sepatutnya dilakukan, mereka tidak boleh ambil masa yang begitu lama seperti yang disebutkan oleh menteri (KPDNHEP) tadi (di Parlimen), tolong beri masa.
“Buat apa masa? Rakyat berhadapan hari-hari dengan isu ini dan sudah jadi satu pertembungan antara rakyat dan peniaga, mereka cuba create satu isu pertembungan, ini salah peniaga dan akhirnya timbul satu persepsi buruk antara pengguna dan peniaga.
“Sedangkan peniaga kecil ini menerima (barangan) pada harga yang tinggi bagaimana mereka hendak jual pada harga yang murah? Kalau brokoli itu memang makanan orang kaya tapi sawi pendek dan sawi panjang itu sayur rakyat, (harga) naik tinggi,” ujarnya. – MalaysiaGazette