Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menyokong penuh gesaan Perdana Menteri agar semua agensi kerajaan dan syarikat milik kerajaan (GLC) menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan rasmi.

KUALA LUMPUR – Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menyokong penuh gesaan Perdana Menteri agar semua agensi kerajaan dan syarikat milik kerajaan (GLC) menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan rasmi.

Pihaknya juga menuntut agar penguatkuasaan dilakukan terhadap semua pihak terutamanya dalam urusan rasmi, kata Presiden PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.

Menurutnya, pengabaian terhadap Bahasa Melayu semakin berleluasa seolah-olah ia tidak ada nilainya lagi sedangkan pekeliling kerajaan sedia menyatakan kewajipan tersebut.

Menerusi kenyataan hari ini, PENA menggesa Ketua Setiausaha Negara (KSN) mengulangi arahan mewajibkan penggunaan Bahasa Melayu melalui surat pekeliling rasmi.

Sebelum ini, Audit Bahasa pernah dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka namun tidak berkesan kerana tidak disusuli tindakan yang sewajarnya, katanya.

“Hasil daripada pemantauan audit bahasa perlu disusuli dengan tindakan lanjut agar usaha tersebut tidak berlalu sia-sia,” kata Mohamad Saleeh dalam satu kenyataan hari ini.

Di samping itu, PENA juga berharap agar usaha pemerkasaan bahasa Melayu di pentas antarabangsa dilakukan dengan lebih giat.

“Pengembangan dan pemantapan bahasa Melayu di luar negara juga hendaklah dilaksanakan dengan lebih gigih oleh DBP yang berada di bawah Kementerian Pendidikan, Kementerian Luar Negeri, dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui pelbagai program yang dirancang secara bersama,” katanya dalam kenyataan yang sama.

PENA juga berharap agar Kementerian Pengajian Tinggi menguatkuasakan pembelajaran bahasa Melayu kepada pelajar dan tenaga akademik asing di universiti awam bukan sekadar mewajibkan pengambilan kursus sahaja tetapi perlu memastikan mereka boleh menguasai bahasa Melayu.

“Langkah ini akan menjadikan bahasa Melayu mendapat nilai ekonominya apabila semua pihak mahu mempelajarinya dan kemudian mereka menjadi duta bahasa Melayu apabila kembali ke negara masing-masing.

“Kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diharap akan bersikap serius terhadap perkara ini,” ujarnya.

Bahasa Melayu sudah termaktub kedaulatannya dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan namun semakin merosot nilainya di mata rakyat negara ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast