KUALA LUMPUR – Seorang peniaga menyerahkan surat rayuan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mahu harga barangan keperluan di negara ini dapat diturunkan segera.
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi supaya harga barangan keperluan di negara ini dapat dipulihkan segera.
Syamsuri Mohd Zin, 47, dari Selayang Baru itu menyampaikan sepucuk surat bertulisan tangan kepada wakil ahli-ahli Parlimen pembangkang dan mahu ia disampaikan kepada Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di hadapan pintu masuk Parlimen sekitar pukul 11.15 pagi.
Menurut Syamsuri, dia tidak mewakili mana-mana persatuan peniaga mahu pun badan bukan kerajaan (NGO) namun hanya memikirkan tentang periuk nasi sebagai seorang peniaga yang terjejas akibat isu kenaikan harga barang yang dilihat semakin tidak terkawal.
Berdasarkan surat yang diserahkan, Syamsuri merayu kepada menteri terlibat untuk memantau dan menurunkan kembali harga barangan kepada harga asal.
Katanya, kenaikan harga barang ketika ini amat memberi kesan kepada para peniaga kecil dan situasi berkenaan menyebabkan kebanyakan perniagaan semakin terjejas.
“Saya dan rakan-rakan minta menteri yang berkaitan lihat semula, pantau kenaikan harga barang jangan dibiar begitu sahaja dan kemudian salahkan peniaga, kata peniaga perlu untung.
“Padahal kami ini peniaga (berada) di tengah-tengah, kami sendiri tidak tahu tiba-tiba semua harga barang naik.
“Itu yang saya nak luahkan sebab itu saya sendiri datang serahkan surat rayuan, ini bukan memorandum bantahan atau sebagainya tapi ini surat rayuan kepada menteri KPDNHEP supaya dapat bertindak dengan sebetulnya,” ujarnya ketika ditemui pemberita di hadapan Parlimen hari ini.
Syamsuri kemudiannya menyerahkan surat berkenaan kepada Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub untuk disampaikan kepada Alexander.
Hadir sama, Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dan Ahli Dewan Undangan Negeri Taman Templer, Mohd Sany Hamzan.
Terdahulu kesemua ahli Parlimen pembangkang berkenaan berkumpul kira-kira 15 minit sebelum diminta bersurai oleh anggota polis yang bertugas. – MalaysiaGazette