Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad bermesra dengan para jemaah dalam majlis menghantar penumpang penerbangan sulung Umrah Amal dari Kuala Lumpur ke Madinah (MH8216) ketika di Bangunan Terminal Utama, KLIA. Foto MOHD ADZLAN, 30 NOVEMBER 2021.

SEPANG – Kerajaan tidak menolak kemungkinan mengekalkan subsidi haji pada tahun hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang membayangkan perkara itu berkata, ia akan dimuktamadkan menerusi mesyuarat Kabinat dalam masa terdekat.

“Setakat hari ini begitulah (kos haji akan disubsidikan untuk semua jemaah haji),” katanya pada sidang media selepas melepaskan 228 jemaah Umrah Amal dari Kuala Lumpur ke Madinah (MH8216) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Pada Sabtu lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan dijangka menanggung kos yang meningkat hampir 50 peratus bagi proses menunaikan ibadah haji.

Marzuk berkata, kos mengerjakan ibadah haji dijangka naik melebihi RM30,000 seorang pada tahun depan berbanding RM23,000 seorang ketika ini.

Kenaikan itu, kata Marzuk, disebabkan cukai nilai tambah (VAT) Arab Saudi naik daripada lima peratus kepada 15 peratus pada tahun depan.

Pada tahun lalu, kos haji meningkat sembilan peratus daripada RM22,900 kepada sekurang-kurangnya RM25,000 seorang.

Menurut Idris, kerajaan sedang menunggu sesi taklimat oleh pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) mengenai kos mengerjakan ibadah Rukun Islam kelima itu.

“Soal kos haji belum lagi diputuskan. Dalam masa terdekat pihak pengurusan TH akan beri penerangan pada saya. Keputusannya akan kita bawa kepada jemaah menteri untuk kita bincangkan hal-hal berkaitan dengan perkara itu (subsidi haji),” jelas Idris .

Semalam, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa menggesa agar kerajaan memperuntukkan subsidi haji kepada mereka yang benar-benar layak.

Menurut beliau, kaedah itu boleh mengurangkan beban kewangan TH sekali gus mengubah cara yang diamalkan ketika ini dengan menyediakan subsidi secara umum. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast