Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak berharap Tun Dr Mahathir Mohamad berhenti membangkitkan permohonannya untuk kediaman kerajaan kerana beliau sudah pun menolak tawaran itu.

Katanya, jika Dr Mahathir masih mahu bangkit maka Najib berharap Ahli Parlimen Langkawi itu dapat tunjukkan di bawah akta kerajaan apa seorang ayah berhak menerima tanah tepi pantai kerajaan semasa anaknya adalah menteri besar.

Dan di bawah akta kerajaan mana yang anak berhak menerima ribuan tanah balak semasa ayahnya adalah perdana menteri.

Najib berkata demikian selepas Dr Mahathir semalam mengakui beliau memajak tanah tepi pantai Langkawi seluas 34 ekar selama 60 tahun dengan harga RM3,200 setahun bagi kesemua tanah daripada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) pada tahun 2014 ketika menjadi penasihat agensi itu.

Ketika itu juga, Datuk Seri Mukhriz Mahathir adalah Menteri Besar Kedah dan Exco tanah.

Najib berkata, netizen yang mengikuti isu itu kecewa kenapa Mahathir hanya berhubung tanah Langkawi sedangkan dia juga ada membangkitkan isu penerimaan konsesi dan tanah balak seluas 1,000 hektar (2,471 ekar) oleh anaknya pada ketika Mahathir menjadi perdana menteri.

Walau bagaimanapun, Najib berkata, Mahathir tak perlu jawab perkara ini sebab anaknya sendiri sudahpun mengaku.

Ini kerana, dalam satu kenyataan sebelum ini, Mukhriz berkata, perkara itu adalah cerita lama dan dia cuma bantu kawan.

Malah, Mukhriz mengakui beliau tidak menerima manfaat besar sebab cuma 2,471 ekar tanah balak sahaja.

”Baik hati betul Mukhriz. Bantu kawan tanpa manfaat besar. Bila dia juga nak bantu saya atau netizen untuk turut menerima tanah balak seluas 2,471 ekar?” soal Najib pula. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast