KUALA LUMPUR – Semua peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang membuat penyelesaian keseluruhan baki hutang pinjaman mulai 1 November 2021 hingga 30 April tahun depan layak mendapat diskaun bayaran balik 15 peratus.

Insentif ini turut terpakai kepada peminjam yang telah dikenakan tindakan penguatkuasaan.

Bagi peminjam yang ingin mendapatkan pengesahan baki pinjaman boleh layari https://www.ptptn.gov.my/PengesahanBakiPenyelesaianHutang/Utama atau hubungi Eksekutif Pemasaran https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn.

Menurut PTPTN, pengiraan diskaun 15 peratus akan diberikan setiap hujung bulan dan peminjam boleh menyemak penyata pinjaman masing-masing mulai 7 hari bulan pada bulan berikutnya selepas pelarasan diskaun 15 peratus dikemaskini.

Semakan penyata pinjaman boleh dibuat melalui portal rasmi PTPTN https://www.ptptn.gov.my/semakanpinjaman.

PTPTN berkata, Surat Penyelesaian Hutang (SPH) akan dikeluarkan selepas 14 hari (bekerja) pelarasan diskaun 15% dilakukan. Cetakan SPH juga boleh dibuat secara dalam talian di portal rasmi PTPTN https://www.ptptn.gov.my/PengesahanBakiPenyelesaianHutang/Utama

Peminjam yang membuat penyelesaian hutang pinjaman melalui gabungan pelbagai saluran seperti KWSP, bank dan dalam talian juga layak menikmati diskaun 15% sekiranya bayaran penyelesaian hutang pinjaman diterima oleh PTPTN dalam bulan yang sama.

PTPTN turut menasihatkan peminjam membuat bayaran selewat-lewatnya 27 hari bulan setiap bulan dan sebarang lebihan selepas diskaun akan dibuat pemulangan ke Akaun 2 KWSP peminjam.

Insentif ini bagaimanapun tidak terpakai sekiranya bayaran balik pinjaman dibayar oleh penaja atau universiti.

Mengenai sama ada peminjam layak mendapat diskaun 15% sekiranya berhasrat membuat penyelesaian hutang pada bulan terakhir promosi iaitu April 2022, PTPTN berkata, mereka layak dengan syarat bayaran diterima pada atau sebelum 30 April tahun depan.

Insentif ini juga boleh dinikmati peminjam yang hanya mempunyai hutang Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP).

Bagaimanapun peminjam mempunyai lebih daripada satu pinjaman seperti pinjaman Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dan hanya ingin membuat penyelesaian hutang salah satu daripada peringkat pengajian tersebut sahaja tidak layak menikmati insentif ini.

Ini kerana diskaun 15 peratus hanya diberikan kepada peminjam yang menyelesaikan keseluruhan baki hutang pinjaman iaitu pinjaman Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana.

Bagi peminjam yang tamat diploma dan masih meneruskan pinjaman di peringkat ijazah juga tidak layak menikmati diskaun 15 peratus.

Bagaimanapun pertimbangan boleh diberikan sekiranya pinjaman yang masih aktif ditamatkan dan penyelesaian penuh dibuat atas keseluruhan hutang pinjaman. Permohonan pinjaman baharu bagi peringkat pengajian yang sama adalah tidak dibenarkan.

Mengenai kemaskini rekod CCRIS, PTPTN berkata, ia akan dikemas kini dalam tempoh tujuh hari bekerja daripada tarikh bayaran dikemas kini dalam penyata PTPTN.

Peminjam yang baharu tamat pinjaman dan masih belum mempunyai Jadual Bayaran Balik (JBB) layak mendapat diskaun 15 peratus tertakluk kepada bayaran balik yang diterima dalam tempoh 1 November 2021 hingga 30 April 2022.

Sebarang pertanyaan, sila hubungi PTPTN:

i.​Careline PTPTN di talian 03-2193 3000 (Beroperasi Isnin hingga Jumaat, jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang);

ii.​Live Chat di www.ptptn.gov.my;

iii.​Eksekutif Pemasaran di https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn ;

iv.​e-Aduan di https://eaduan.ptptn.gov.my ;

v.​Media Sosial Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional

—MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast