Amirudin Shari berucap pada majlis penyerahan dokumen Seksyen C (Jajaran Utara) projek pembinaan ECRL.

KUALA LUMPUR – Selangor akhirnya bersetuju projek pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mengikut jajaran asal yang merentasi bahagian utara negeri negeri itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, negeri itu tidak ada halangan untuk menerima cadangan asal kerana projek ini idak akan menjejaskan kawasan berisiko seperti Permatang Kuarza Gombak yang kini dalam proses pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Dengan kelulusan ini bermakna projek ECRL ini akan melibatkan dari Mentakab-Bentong-Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Selangor lebih cenderung untuk memilih Jajaran Selatan bagi ECRL di negeri Selangor yang melibatkan empat daerah iaitu Hulu Langat, Sepang, Kuala Langat dan Klang.

”Kerajaan Negeri Selangor tidak berhasrat untuk melengahkan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangkakan akan memberi impak positif kepada rakyat di negeri-negeri Pantai Timur dan Lembah Klang.

”Perlu saya tegaskan di sini keputusan Kerajaan Negeri Selangor ini dibuat setelah mengambil kira hasil perbincangan dan permuafakatan dengan pihak-pihak berkepentingan yang terlibat seperti Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), pihak berkuasa tempatan, serta agensi-agensi Kerajaan Persekutuan.

“Dan Negeri Selangor telah membuat keputusan yang bermatlamat untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan kelestarian pembangunan ekonomi bukan sahaja khusus untuk Selangor malah Malaysia amnya,” katanya pada majlis penyerahan dokumen Seksyen C (Jajaran Utara) projek pembinaan ECRL.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Selangor menyokong inisiatif Kerajaan Persekutuan memilih Jajaran Utara, antaranya dapat merancakkan kawasan Serendah sebagai lokasi penting penghantaran/pertukaran hub kargo baharu di negeri Selangor.

Inisiatif ini seterusnya akan menambah pertumbuhan industri seperti automotif, pengkeretaapian, besi waja dan aeroangkasa oleh syarikat-syarikat utama.

”Selangor juga memahami rasional belanjawan Kerajaan Persekutuan di mana projek ECRL yang merentasi Jajaran Utara akan merangkumi Pintasan Serendah (Serendah Bypass) dalam laluan ECRL, dan seterusnya menyelesaikan masalah kesesakan servis kargo yang kerap dihadapi KTMB
semasa melintasi pusat bandar Kuala Lumpur.

”Perbelanjaan infrastruktur ECRL jajaran utara ini juga menawarkan pengurusan belanjawan serampang dua mata – perlaksanaan dua projek rel iaitu ECRL dan Pintasan Serendah pada satu harga,” tambah beliau.

Selain itu, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri Selangor juga menyokong Jajaran Utara berdasarkan komponen utama Projek ECRL dalam
melengkapkan jambatan darat (landbridge) bagi pengangkutan kargo dari Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Klang yang berkeberangkalian lebih efektif dengan
ketersambungan rel hingga ke terminal di Northport dan Westports.

Pada masa sama, Jajaran Utara akan juga dapat terus menghubungkan para penumpang dari negeri-negeri Pantai Timur ke ITT Gombak di Selangor, yang berdekatan dengan pintu masuk utama ke ibu negara serta mempunyai perkhidmatan LRT yang dapat menghubungkan banyak
destinasi di Lembah Klang.

Serentak dengan keputusan itu, Amirudin berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) juga bersetuju untuk menyambung semula Mesyuarat Penyelarasan Peringkat Negeri Selangor yang bertindak sebagai Jawantankuasa Khas 4 Projek ECRL (Penyelarasan Negeri & Utiliti) serta mesyuarat di peringkat jabatan-jabatan yang berkaitan, bagi memastikan kelancaran projek mega ini.

Antaranya, mesyuarat bulanan dengan Pengarah Tanah dan Galian Selangor amatlah penting kerana perlu tindakan segera dalam menangani isu-isu seperti pengambilan tanah, Tanah Rizab Melayu dan Hutan Simpan Kekal.

Katanya, Kerajaan Negeri Selangor juga menzahirkan harapan agar pembinaan Projek ECRL akan mengambil kira impak alam sekitar seperti kawasan tadahan air berdekatan Empangan Batu dan impak sosial lain terutamanya yang melibatkan penempatan kampung tradisi dan Orang Asli serta kawasan
penempatan padat, dalam memastikan kesejahteraan rakyat di negeri Selangor.

Sehubungan, MMKN juga telah bersetuju untuk menyegerakan pewartaan pengambilan tanah di bawah Seksyen 4, Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 bagi
membolehkan kerja-kerja awalan Projek ECRL seperti pengukuran dan penyiasatan tanah dijalankan.

MMKN bersetuju agar permohonan Pengambilan Tanah di bawah Seksyen 3(1)(a) dan Pengisytiharan di bawah Seksyen 4, APT 1960, bagi daerah Gombak, Hulu Selangor, Kuala Selangor, dan Klang dijalankan selaras dengan Jajaran Utara ECRL di negeri Selangor.

Menurut Amirudin, Kerajaan Negeri Selangor optimis reka bentuk terperinci ECRL dan penyediaan pelan-pelan pengambilan tanah di bawah Seksyen 8, APT 1960 dapat dijalankan awal tahun 2022 dan seterusnya membolehkan permulaan kerjakerja fizikal bagi menyempurnakan Jajaran Utara ECRL.

Kerajaan Negeri Selangor juga menyokong pembinaan lima buah stesen ECRL di negeri Selangor, dengan tiga buah stesen iaitu ITT Gombak, Serendah Baru, Jalan Kastam dilaksanakan di peringkat awal, manakala dua buah stesen ECRL iaitu Puncak Alam dan Kapar telah pun ditetapkan sebagai stesen perancangan masa hadapan dan bakal dibina mengikut keperluan.

Ujar beliau, 17. Kerajaan Negeri Selangor juga berhasrat menghasilkan situasi menang-menang dalam isu jajaran ECRL di Seksyen C walaupun ini tidak merupakan satu prasyarat dalam sokongan Kerajaan Negeri Selangor terhadap Jajaran Utara.

“Kami amat berbesar hati sekiranya Kerajaan Persekutuan dapat mengambil kira keperluan melaksanakan Jajaran Selatan dan memberi kesinambungan Projek ECRL di Jajaran Selatan ini dalam pelan pembangunan di masa akan datang,” tambahnya. – MalaysiaGazette