Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bercakap kepada media mengenai isu kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan anak guamnya, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika di pejabatnya Messrs Shafee & Co, Bukit Tungku, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 02 DECEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Penubuhan Pasukan Khas Siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh kerajaan di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad bertujuan untuk menjalankan siasatan terperinci berkaitan dana itu kini dipersoalkan.

Ini kerana, pendedahan demi pendedahan sejak awal November lepas berkaitan dana tersebut mengejutkan dan membimbangkan.

Peguam yang mengetuai pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa ada kemungkinan siasatan yang dijalankan oleh pasukan khas 1MDB ini tidak lengkap atau sengaja dilakukan dengan cara untuk memastikan segala tuduhan dan dakwaan menjurus ke arah Najib.

Keadaan ini sekali gus menyembunyikan penglibatan individu-induvidu yang lain dalam penyewelengan skandal terbesar ini.

“Datuk Seri Najib pernah bangkitkan kebimbangan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Aziz yang telah dilantik sebagai Ahli ‘Council of Eminent Persons’ oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi menyiasat perkara berkaitan penyewelengan 1MDB dan SRC International.

“Persoalan timbul yang mana segala keterangan dan bahan bukti dibekalkan kepada anak guam kami adalah tidak lengkap atau sengaja ditapis. Ini juga telah dinafikan haknya untuk dibicarakan secara adil dan saksama,” katanya dalam sidang media di pejabat guamnya di Bukit Tunku hari ini.

Sebelum ini, ketika PH memerintah, pasukan task force 1MDB yang telah ditubuhkan terdiri daripada bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato Seri Mohd Shukri Abdull dan bekas pegawai kanan Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador.

Selain itu pasukan yang terdiri daripada SPRM, Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia ini bertanggungjawab dalam keseluruhan aspek penyelarasan siasatan, pengesanan kewangan dan perolehan aset yang berpunca dari salah laku dan penyelewengan dana 1MDB yang tersimpan atau dilaburkan di dalam dan luar negara.

Dalam pada itu, Muhammad Shafee juga mendedahkan bagaimana ketika perbicaraan SRC International di Mahkamah Tinggi, ada keterangan yang mengesahkan Najib telah memaklumkan kepada Pengarah AmBank, Cheah Taek Kuang untuk memastikan segala peraturan dipatuhi ketika pembukaan dan operasi akaunnya.

“Cheah telah sahkan dalam akuan sumpah beliau sebenarnya telah memaklumkan kepada Zeti berkaitan pembukaan akaun-akaun milik Najib di AmBank dan tujuannya adalah untuk terima sumbangan kerajaan diraja Arab Saudi.

“Najib sendiri menyatakan dalam beberapa situasi dirinya telah memaklumkan kepada Zeti tujuan pembukaan akaun-akaun itu dan telah membolehkan beliau (Zeti) untuk mengawasi akaun-akaun tersebut yang berperanan menjaga urusan perbankan negara.

“Beliau secara khususnya ditugaskan menjaga akaun-akaun anak guam kami. Sepanjang perbicaraan berlangsung, saksi-saksi AmBank juga telah sahkan pemindahan wang ke dalam akaun anak guam kami telah dilaporkan juga kepada BNM termasuklah pemindahan AS$620 juta dan RM42 juta yang didakwa dari 1MDB dan SRC,” ujarnya.

Beberapa hari sebelum Mahkamah Rayuan membuat keputusan berhubung hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan penyelewengan dana SRC, Najib hari ini memohon agar mahkamah itu menerima masuk bukti baharu.

Bukti baharu itu, dakwa Najib, antaranya membabitkan penglibatan Zeti yang dikatakan bersekongkol dengan Jho Low bagi memudahkan ahli perniagaan dalam buruan itu untuk menyeleweng dana 1MDB dan anak syarikatnya SRC International.

Notis usul dan afidavit sokongan untuk memasukan bukti atau keterangan baharu itu difailkan di Mahkamah Rayuan melalui firma guaman, Tetuan Shafee & Co. pagi tadi.

Najib dalan afidavit sokongannya menyatakan, beliau memfailkan notis usul itu tanpa lengah selepas mendapati keterangan-keterangan berkaitan penglibatan Zeti dan ahli keluarganya tidak dimaklumkan atau didedahkan kepada pasukan pembelaannya sebelum atau sepanjang perbicaraannya. -MalaysiaGazette