Foto hiasan

PETALING JAYA – Hari pertama pelaksanaan ujian kendiri COVID-19 pada 1 Disember berjalan dengan kurang lancar di sesetengah sekolah.

Sinchew Daily melaporkan, pihak sekolah antaranya memberitahu bahawa arahan Kementerian Pendidikan kurang jelas, alat ujian belum sampai ke sekolah, malahan ada yang bimbang ujian kendalian pihak sekolah akan meningkatkan risiko jangkitan.

Seorang guru besar berkata, pihaknya masih menunggu arahan lebih jelas daripada kementerian mengenai usaha untuk menyaring 10 peratus pelajar setiap minggu.

Katanya, usaha itu menghadapi masalah dari segi pelaksanaan kerana memerlukan masa yang panjang dan menambahkan beban kerja cikgu.

“Keadaannya adalah lebih susah untuk sekolah bersaiz besar dengan murid yang banyak kerana jumlah pelajar yang perlu disaring juga sangat banyak,” katanya kepada Sinchew Daily.

Artikel berkaitan: 

Menurut guru besar itu, cikgu juga terdedah kepada risiko jangkitan semasa mengajar murid untuk melakukan ujian kendiri.

“Selain itu, pemilihan murid untuk melakukan ujian kendiri juga merupakan satu cabaran dan pihak sekolah perlu mendapat persetujuan ibu bapa terlebih dahulu,” katanya yang juga memberitahu kit ujian belum  tiba di sekolah.

Selain itu, seorang guru besar juga memberitahu, sebahagian ibu bapa bimbang kerana ujian akan dikawal selia oleh cikgu yang tidak mempunyai kepakaran dalam perubatan.

Menurutnya, ibu bapa berasa lebih selesa jika anak mereka melakukan ujian kendiri di rumah dan bukannya di sekolah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast