GEORGE TOWN – Seorang inspektor polis yang mengamuk serta mencederakan anggota polis dalam satu kejadian di Lebuh Queen di sini, awal pagi tadi telah ditahan.
MalaysiaGazette difahamkan, suspek yang merupakan pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) di Perak itu membuat bising dan mengamuk di hadapan sebuah hotel serta kuil di kawasan berkenaan kira-kira jam 1.40 pagi sebelum kehadiran pihak polis.
Pihak polis yang tiba di lokasi cuba tenangkan suspek berusia 35 tahun itu namun, dia bertindak agresif dengan menyerang anggota di lokasi.
Tindakan agresifnya telah menyebabkan anggota polis berpangkat lans koperal mengalami kecederaan pada bahagian kaki manakala seorang lagi koperal cedera di tangan akibat diserang suspek tersebut.
Susulan pergelutan itu, suspek berjaya ditahan sebelum dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, pegawai berkenaan digantung kerja pada November lalu dan pulang ke kampungnya di sini.
Terdahulu, tular satu klip video video berdurasi 34 saat menunjukkan seorang lelaki mengamuk di hadapan sebuah hotel di Lebuh Queen.
Berdasarkan klip video itu, suspek berbaju-T hitam serta berseluar panjang itu dikatakan berada dalam keadaan mabuk dan kaki kananya berbalut, mengeluarkan kata-kata kesat. – MalaysiaGazette