KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu terbuka untuk menjadi orang tengah dalam membantu mencari penyelesaian dalam konflik di antara penduduk Kampung Sungai Baru dan pemaju projek pembangunan semula kawasan berkenaan.
Menurut Pengerusi PKB, Datuk Affendi Zahari, pendekatan menang-menang di antara kedua-dua belah pihak itu akan diusahakan secepat mungkin dengan kerjasama daripada Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).
“Itu saya nak kata di sini, bagi pihak PKB saya tidak teragak-agak untuk bersama dengan KWP untuk bertemu dengan pemaju bersama wakil-wakil penduduk untuk mencari satu jalan atau pendekatan menang-menang bagi penduduk di sini. Itu saya boleh buat.
“Dan saya juga beritahu pegawai menteri (KWP) perkara ini hendaklah dilakukan secepat mungkin,” katanya pada sidang media di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika disoal oleh para penduduk sama ada PKB boleh memainkan peranan dalam membantu mereka menyelesaikan kemelut nilai pampasan yang dianggap tidak setimpal sebagai balasan kepada projek pembangunan semula itu.
Mengulas lanjut, Affendi berkata, proses pengambilan tanah di kawasan berkenaan berjalan mengikut lunas undang-undang yang dijalankan Pejabat Tanah dan Galian (PTG).
“Saya tidak berada dalam kedudukan untuk menjawab bagi pihak pemaju tapi saya nak beritahu di sini semua peraturan pengambilan tanah itu berjalan dengan mengikut peraturan undang-undang dan dilakukan oleh PTG.
“Dalam negara ini semua penilaian dilakukan oleh JKPTG bukan ada orang luar, mereka yang buat keputusan sama RM1 atau RM1.10 (tanah). Sudah semestinya kalau saya penerima saya mungkin mempunyai perasaan kurang, itu saya faham,” ujarnya.
Dalam pada itu, ketika ditanya apakah pilihan yang tersedia untuk penduduk Kampung Sungai Baru yang telah menerima surat tawaran pampasan, beliau berkata, ia terserah kepada penduduk untuk menerima tawaran itu atau sebaliknya.
“Ada satu cara yang bukan undang-undang dan ada satu cara undang-undang.
“Cara undang-undang ada dua iaitu penduduk tidak setuju manakala cara kedua adalah dengan bersetuju dan ambil tanpa kerelaan, penduduk terima apa yang penilai dah nilaikan dan duit itu pun sudah ada PTG, mungkin ada orang yang dah mula dapat duit itu jadi penduduk ambil 25 peratus dan lawan di mahkamah pun ada.
“Ia nya terpulang pada penduduk jalan mana mereka nak ambil tetapi saya rasa jalan terbaik adalah apabila kita cari jalan supaya ia nya menang-menang untuk pemaju dan orang kampung,” katanya.
Terdahulu, sekumpulan penduduk sekitar Kampung Sungai Baru sekali lagi melakukan bantahan terhadap projek pembangunan semula kawasan tersebut yang dianggap berat sebelah dan ‘menindas’.
Sebahagian penduduk yang dipercayai tidak berpuas hati dengan tawaran perjanjian itu mula berkumpul di Jalan Sungai Baru sekitar pukul 10 pagi untuk meluahkan tanda protes.
Bagaimanapun setelah berkumpul kira-kira 15 minit, penduduk terbabit kemudiannya dihampiri oleh anggota polis yang meminta mereka untuk bersurai dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara. – MalaysiaGazette