Guan Eng (tengah) menunjukkan surat pekeliling yang diterima beberapa kerajaan negeri serta PBT berkaitan lesen minuman keras.

GEORGE TOWN – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa semua kerajaan negeri khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tidak bersetuju dengan pekeliling yang dikeluarkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia berhubung penguatkuasaan lesen minuman keras di semua kedai kopi dan restoran sehingga Kementerian Kewangan mengemukakan butiran lanjut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, langkah penguatkuasaan itu tidak munasabah kerana peniaga perlu menanggung kos bayaran berjumlah RM1,300, sekali gus membebankan mereka tambahan pula masing-masing masih terkesan akibat pandemik.

Guan Eng.

Jelas beliau, tindakan ini dilihat seakan-seakan menyekat hak orang bukan Islam mengamalkan cara hidup mereka sejak negara mencapai kemerdekaan.

“Kita tidak halang malah, menyokong sekiranya larangan itu dibuat kepada orang Islam tetapi sekarang ini kita tidak faham mengapa pihak berkuasa mewujudkan dasar yang menjejaskan perpaduan rakyat.

“Saya suara perkara ini secara terbuka untuk orang ramai faham kita tidak mahu hak-hak orang bukan Islam dinafikan.

“Malah, kita juga akan meneliti syarat baharu lesen penjualan arak tersebut dari sudut undang-undang dan saya menggesa semua PBT agar tidak mematuhi pekeliling terbabit selagi tiada penjelasan lanjut daripada Kementerian Kewangan,” katanya pada sidang media di Wisma DAP di sini, hari ini.

Tambah Guan Eng, hampir semua PBT dan kerajaan negeri sudah menerima pekeliling tersebut kecuali Pulau Pinang.

Dalam perkembangan asing, Guan Eng menggesa kerajaan pusat memperuntukkan dana RM3 bilion bagi menstabilkan harga barangan asas yang direkodkan melambung tinggi di pasaran ketika ini.

“Peruntukan itu perlu disalurkan kepada  golongan petani, peniaga dan penjaja agar dapat berdepan situasi sebenar kenaikan harga barang.

“Kita tak mahu timbul isu harga barang turun susulan tiada bekalan sehubungan wajar kerajaan memberi dana kepada golongan sebegini,” katanya. – MalaysiaGazette