Polis Gombak mencari saksi membantu siasatan melibatkan kemalangan membabitkan seorang jururawat HKL pada 1 Disember lalu. - Gambar Ihsan IPD Gombak.

KUALA LUMPUR- Polis mengesan saksi kemalangan melibatkan seorang jururawat yang cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan berhampiran Templer Park dekat sini baru-baru ini.

Insiden itu dilaporkan berlaku pada 1 Disember lalu sekitar pukul 6 petang di Jalan Kuala Lumpur – Ipoh, kata Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed.

Semasa kejadian mangsa, Wan Mohd Azrael Wan Razlan, 33, sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas selesai urusan kerja di Hospital Kuala Lumpur.

“Mangsa yang merupakan seorang jururawat sedang dalam menunggang motosikal pulang ke rumah di Rawang. Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai telah hilang kawalan dan terjatuh atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Zainal, akibat kemalangan tersebut, mangsa  mengalami kecederaan di kepala dan kedua-dua kakinya dan dibawa ke Hospital Selayang.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati bentuk jalan selekoh ke kanan dan mempunyai dua lorong sehala. Tiada rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian itu dan tiada saksi bebas yang tampil sehingga kini membantu polis menyelesaikan siasatan kes ini.

“Hebahan media telah dibuat oleh pihak polis bagi mengesan saksi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes telah diklasifikasi dan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta supaya tampil ke mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Suhaimi Tukiman di talian 013-755 7556 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-6126 222.-MalaysiaGazette