Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memegang buku Belanjawan 2022 selepas selesai membentangkan Belanjawan 2022 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Perak. Foto AMIRUL SHAUFIQ 10 DISEMBER 2021.

IPOH – Bajet Perak 2022 yang dibentangkan hari ini boleh diklasifikasikan sebagai bajet yang mencerminkan komitmen kepada rakyat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bajet yang memperuntukkan RM1.1 bilion itu mengambilkira faktor bagi menyediakan infrastruktur yang menjadi pendekatan penting kali ini.

“Ketersediaan infrastruktur rakyat turut menjadi antara intipati penting dalam belanjawan kali ini dengan mengambilkira tuntutan rakyat supaya penyediaan prasarana dijadikan keutamaan oleh negeri.

“Belanjawan Perak 2022 juga mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memantapkan tadbir urus dengan meletakkan pendigitalan perkhidmatan sebahagian antara keutamaan selain menyediakan peruntukan khusus kepada wakil-wakil rakyat,” katanya dalam sidang media selepas perbentangan bajet 2022 kerajaan negeri Perak di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Awal hari ini, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM1.1 bilion dengan RM803 juta daripadanya disalurkan untuk belanja mengurus manakala RM302 juta lagi untuk belanja pembangunan.

Saarani juga berkata, belanjawan itu dirangka berdasarkan unjuran hasil dan terimaan pembangunan RM1.06 bilion.

Untuk rekod, belanja mengurus terdiri daripada perbelanjaan emolumen RM390.2 juta, perkhidmatan dan bekalan RM296.3 juta, pembelian aset RM7.2 juta, pemberian dan kenaan bayaran tetap RM102.7 juta serta lain-lain perbelanjaan RM6.6 juta.

Bagi bajet kali ini, Saarani juga menegaskan, kerajaan negeri telah menetapkan lima fokus utama dalam memastikan kedudukan kewangan negeri kekal teguh untuk masa hadapan.

Lima fokus itu ialah Menjana Semula Ekonomi dan Mengupayakan Sara Diri Rakyat; Memakmur dan Mensejahterakan Rakyat; Mengukuhkan Modal Insan dan Pembangunan Sosial; Memantapkan Tadbir Urus dan Pendigitalan; dan Memulihara Khazanah Alam Sekitar. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Perak peruntuk RM1.1 bilion untuk Bajet 2022