Kakitangan Kerajaan tidak melepaskan peluang menonton pembentangan Bajet Perak 2022 oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika tinjauan Malaysia Gazette di Bangunan Perak Darul Ridzuan. Foto AMIRUL SHAUFIQ 10 DISEMBER 2021.

IPOH – Kerajaan Perak hari ini memperuntukkan sejumlah RM1.1 bilion bagi Bajet 2022.

Menurut pimpinan Menteri Besarnya, Datuk Seri Saarani Mohamad, kerajaan negeri akan memperuntukkan sejumlah RM803 juta untuk belanja mengurus dan RM302 juta belanja pembangunan negeri.

“Belanja mengurus terdiri daripada perbelanjaan emolumen RM390.2 juta, perkhidmatan dan bekalan RM296.3 juta, pembelian aset RM7.2 juta, pemberian dan kenaan bayaran tetap RM102.7 juta serta lain-lain perbelanjaan RM6.6 juta.

“Daripada unjuran hasil dan perbelanjaan tersebut, Belanjawan 2022 dicadangkan sebagai belanjawan defisit RM50.0 juta,” katanya ketika perbentangan Belanjawan Perak 2022 di Dewan Undangan Negeri Perak hari ini.

Menurut Saarani, peruntukan itu berdasarkan kepada unjuran hasil dan terimaan pembangunan yang akan diterima kerajaan negeri pada kadar RM1.06 bilion pada tahun depan.

Bertemakan Perak Negeri Berdaya Tahan, Mampan dan Inklusif,  Saarani berkata, ia akan memfokuskan kepada lima matlamat utama dalam memastikan kedudukan kewangan kekal teguh di masa akan datang.

Lima fokus itu adalah menjana semula ekonomi dan mengupayakan sara diri rakyat, memakmurkan dan mensejahterakan rakyat, mengukuhkan model insan dan pembangunan sosial, memantapkan tadbir urus dan pendigitalan serta memulihara khazanah alam sekitar.

Bagi menjana semula ekonomi, katanya, kerajaan memperuntukkan RM20.3 juta bagi sektor pelancongan.

“Jumlah ini termasuklah peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM7.8 juta meliputi RM5.0 juta kepada Tourism Perak dan RM0.5 juta untuk pelbagai program pelancongan.

“Selain itu, RM1.8 juta akan disediakan untuk People of Remarkable Talent (PORT) dan RM0.5 juta kepada Majlis Kebudayaan Negeri untuk menyokong program-program pelancongan dan kebudayaan,” jelas Saarani lagi.

Bagi sektor industri asas tani, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM51.4 juta di mana Jabatan Pertanian Negeri Perak menerima RM24.3 juta untuk peruntukan mengurus dan RM4 juta bagi belanja pembangunan.

Selain itu, 50. Jabatan Perkhidmatan Veterinar diperuntukkan RM17.7 juta untuk belanja mengurus dan RM3.7 juta belanja pembangunan.

Malah Jabatan Perikanan turut disediakan RM1.2 juta belanja pembangunan. – MalaysiaGazette