SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah baginda disembah maklum bahawa seramai 1.8 juta orang  pendeposit Lembaga Tabung Haji bagi negeri Selangor, melibatkan jumlah simpanan sebanyak RM18.797 bilion.

Baginda bertitah, 8,061 orang daripadanya merupakan jemaah yang layak menunaikan haji tahun ini.

Malah menurut baginda, difahamkan jemaah Selangor antara yang berdisiplin dan patuh peraturan kerajaan Arab Saudi.

“Beta berharap tuan-tuan dan puan-puan terus mengekalkan disiplin diri semasa berada di tanah suci nanti dan menjaga nama baik negeri Selangor dan Malaysia,” titah baginda.

Terdahulu, Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri, Tengku Permaisuri Norashikin mencemar duli ke Masjid Salahuddin Abdul Aziz Shah bagi menyempurnakan Majlis Penutupan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor Musim Haji 1445H/ 2024M.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Dalam masa yang sama, baginda memaklumkan telah menitahkan kerajaan negeri Selangor menaja 36 peserta daripada kalangan asnaf menunaikan haji tahun ini.

“Mereka dipilih di kalangan rakyat yang tidak mampu tetapi benar-benar berhasrat untuk menunaikan haji. Kerajaan Negeri akan membelanjakan sebanyak RM1.2 juta untuk program tersebut.

“Sebagai Ketua Agama Islam di Negeri ini, beta akan tetap berusaha untuk meninggikan syiar Islam di negeri Selangor ini dan akan tetap berpegang teguh dengan moto Istana Selangor iaitu “Pertahan Dan Setia Kepada Agama Islam” “Berkhidmat Kepada Rakyat Dan Negara,” titah baginda.

Sementara itu, Sultan Selangor berharap jemaah haji dapat mengelakkan diri daripada  terlibat dalam sebarang bantahan atau demonstrasi, sebaliknya menumpukan perhatian menunaikan ibadah haji masing-masing.

“Bersabarlah atas segala kepayahan dan dugaan yang mungkin akan dilalui terutama ketika berada di padang Arafah, Muzdalifah dan Mina. Sentiasalah berhubung dengan petugas-petugas haji dan mengikuti segala arahan-arahan yang dibuat oleh pihak Lembaga Tabung Haji,” titah baginda. – MalaysiaGazette