KUCHING – Kerajaan Sarawak menerusi Yayasan Sarawak akan membiayai pengajian kedua-dua anak mendiang Laskar Kanan (LK) JJM Joanna Felicia Rohna bermula dari peringkat sekolah hingga universiti, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, yayasan itu akan turut memantau perkembangan pendidikan Allesia Felice Haslie dan Hovannes Haslie yang masing-masing berusia empat dan setahun.
“Hari ini saya memaklumkan kepada keluarga mendiang khususnya suaminya (Bintara Muda Haslie Ali) yang kita akan daftarkan anak-anak mereka dalam Yayasan Sarawak… kalau sudah didaftar, kita akan biaya hingga ke peringkat tertinggi (pendidikan).
“Mudah-mudahan anak-anaknya akan belajar hingga peringkat universiti, setelah itu mungkin ada semangat wira serta berminat untuk masuk bidang ketenteraan memandangkan ibu bapa bertugas dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat keluarga mendiang Joanna di Kampung Engkaroh Tebakang, Serian, kira-kira 90 kilometer dari bandar Kuching, hari ini.
Joanna yang berasal dari Kampung Sumpas Tampek, Serian antara 10 mangsa yang terkorban dalam nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada Selasa lepas semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang TLDM ke-90.
Dalam lawatan berkenaan, Abang Johari turut menghulurkan bantuan kerajaan negeri berjumlah RM10,000 kepada keluarga mangsa. – Bernama