Gara-gara ingkar prosedur operasi standard (SOP), para pengunjung sebuah pusat hiburan di ibu negara malam tadi telah dikenakan tindakan kompaun.

KUALA LUMPUR – Gara-gara ingkar prosedur operasi standard (SOP), para pengunjung sebuah pusat hiburan di ibu negara malam tadi telah dikenakan tindakan kompaun.

Pemilik pusat hiburan tersebut yang didapati gagal memastikan pematuhan SOP juga dikenakan tindakan.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob berkata, pihaknya menerusi Operasi Pematuhan Khas Covid-19 menjalankan serbuan ke premis terbabit.

Menurutnya, pasukan serbuan yang terdiri daripada 18 pegawai dan anggota.

“Hasil pemeriksaan di dalam premis berkenaan tiada pematuhan SOP dan berlaku perlanggaran oleh pemilik premis sendiri.

“Polis mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,000 ke atas pemilik pusat hiburan itu kerana kegagalan memastikan pematuhan SOP di dalam bangunan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Azman berkata, polis juga mengeluarkan sebanyak 44 kompaun terhadap pengunjung dengan nilai kompaun berjumlah RM44,000.

Menurutnya, kesemua kompaun itu dikeluarkan mengikut pelanggaran Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 4 2021 (Melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam) semasa tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa 4 bagi Kuala Lumpur.

“Nilai keseluruhan kompaun yang dikeluarkan hasil serbuan lewat malam tadi adalah berjumlah RM45,000,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Operasi akan terus dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa dalam usaha membantu kerajaan dalam mengawal penularan wabak Covid-19 demi kesejahteraan bersama, katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast