Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Persekitaran Mampan) KPKT, Kamaruzaman Umar berucap pada Program Urban Cafe Special Session yang bertajuk ÔBetter Cities, Better LifeÕ ke Arah Malaysia Yang Berdaya Huni sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 10 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Proses perbandaran yang pesat memerlukan satu anjakan paradigma dalam pengurusan bandar negara untuk menjadikannya tempat yang lebih baik didiami, berdaya huni, selamat dan sejahtera.

Ia menjadi cabaran utama mendepani bandar abad ke-21, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Persekitaran Mampan) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kamaruzaman Umar.

Justeru, katanya, KPKT memainkan peranan utama dalam membuat keputusan dasar seperti perancangan bandar, komuniti sejahtera, pelupusan sisa pepejal, bangunan cekap tenaga dan sebagainya.

“Dasar-dasar, inisiatif dan program menangani isu perbandaran perlu dirangka terlebih dahulu dan diselaraskan kepada sebuah Indeks Berdaya Huni supaya memberi impak terhadap kelestarian bandar dan kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya ketika merasmikan Urban Cafe Special Session  bertajuk Better Cities, Better Life ke Arah Malaysia Yang Berdaya Huni.

Urban Cafe Special Session diadakan bersempena Hari Terbuka Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Urban Cafe salah satu platform mendapatkan pandangan daripada pelbagai lapisan masyarakat, bagi membincangkan langkah dan usaha menjadikan negara lebih mampan.

Tambah Kamaruzaman, KPKT memandang serius usaha membentuk platform Malaysia Berdaya Huni menerusi perkhidmatan dan persekitaran perbandaran yang selaras dengan kehendak dan harapan rakyat.

Katanya lagi, demi mewujudkan tadbir urus  baik dan persekitaran kondusif, strategi pembangunan mampan yang berdaya huni perlu disusun secara terperinci.

“Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) berfungsi untuk menangani cabaran global yang dihadapi dunia iaitu kemiskinan, ketidaksamaan, perubahan iklim, kemusnahan alam sekitar, kemakmuran dan keadilan,” katanya.

Seramai 150 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang penduduk bandar, pentadbir bandar, ahli akademik, pelajar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang berkepentingan yang hadir pada sesi perbincangan Urban Cafe hari ini.

Tiga topik yang dibincangkan adalah Landskap, Ruang Awam dan Sosial Bandar (People Spaces, Landscape &  Sociability); Fungsi Bandar dan Akses Untuk Semua (City Function &  Access For All) dan  Bandar Sihat & Selesa (City Comfort & Health).-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast