The Minister of Youth and Sports, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu speaks to the media after sending off Team Todak and Team SMG for the Mobile Legends: Bang Bang M3 World Championship at the Kuala Lumpur International Airport (KLIA) in Sepang, Selangor. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 23 NOVEMBER 2021 GE15 15th General Election
Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. Foto HAZROL ZAINAL, 23 NOVEMBER 2021.

IPOH – Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memuji Kerajaan Perak yang telah mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM5.2 billion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini iaitu peningkatan sebanyak 126 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan  Negeri (ADUN) Chenderiang itu berkata, dalam meningkatkan usaha itu, kawasan-kawasan perindustrian yang baru dijangka terus dibuka oleh kerajaan negeri bagi menerima bakal-bakal pelabur yang berpotensi bagi terus merancakkan lagi ekonomi khususnya dalam sektor pembuatan di dalam negeri.

“Kerajaan Perak juga terus memberikan khidmat yang terbaik dengan menyediakan tiga pakej tawaran yang berbeza mengikut nilai pelaburan.

“Antara insentif yang ditawarkan adalah diskaun premium tanah sehingga 30 peratus, remisyen cukai tanah sehingga 15 peratus bagi tempoh tiga tahun selepas ‘production date’, ‘pre-counsultation’ serta pemprosesan Kebenaran Merancang secara ‘fast track’ dalam tempoh 21 hari tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan,” kata bekas Menteri Besar Perak itu.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Pembekalan Tahun 2022 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2022 Negeri Perak sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Ahmad Faizal bagaimanapun menambah, usaha menarik pelabur perlu diteruskan walaupun rekod pelaburan telah dicatatkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Jelas beliau, ia bagi memastikan komitmen pelaburan di Perak dapat direalisasikan.

“Dengan kolaborasi di antara MIDA dan InvestPerak melalui program PACU@Perak yang diumumkan oleh Menteri Besar, saya yakin kemajuan projek dapat terus dipantau, termasuk mengenalpasti isu yang dihadapi semasa pelaksanaannya serta cadangan penyelesaian,” katanya.

Ahmad Faizal turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Perak kerana meneruskan idea pembukaan Pusat Rehat dan Rawat Rider (3R) yang pertama di negara ini di Bandaraya Ipoh.

Ujar beliau, kemudahan yang mampu memberi manfaat kepada hampir 2,000 penghantar makanan di bandar raya ini lengkap dengan ruang rehat dan solat; tandas serta wifi percuma.

“Dengan peningkatan demand (dengan izin) di dalam industri ini, penyediaan kemudahan-kemudahan sebegini adalah penting dalam usaha menjaga kebajikan mereka yang telah memberi khidmat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya juga dimaklumkan sebanyak tujuh lokasi tempat 3R yang dibina di sekitar Ipoh ialah Pusat Bandar, Meru Raya, Jelapang, Medan Gopeng, Klebang, Station 18 dan Taman lpoh dengan menggunakan Peruntukan Khas Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Bandaraya Ipoh.

“Selain inisiatif 3R tersebut, Kerajaan Negeri pada tahun 2020 juga telah merancang pembangunan melibatkan infrastruktur pelancongan di sekitar Bandaraya Ipoh menggunakan sumber peruntukan yang sama.

“Antaranya adalah seperti ,enaiktaraf Jalan Tambun, RM8.0 juta; membina Ampiteater Taman DR, RM2.0 juta; menaiktaraf Gerbang Malam, RM2.0 juta; menaiktaraf Kinta Riverwalk, RM0.5 juta dan menaiktaraf pagar di Taman Jepun, Taman DR, RM0.3 juta,” katanya. – MalaysiaGazette