KULIM – Pemandu bas henti-henti yang mempunyai 51 saman trafik, termasuk lima waran tangkap, diberkas polis selepas didapati memandu dalam keadaan berbahaya di Sungai Karangan di sini, semalam.
Suspek berusia 44 tahun yang positif dadah itu memandu secara melulu termasuk melanggar lampu isyarat melalui Pekan Padang Serai hingga ke kawasan Sungai Karangan.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, perbuatan suspek memandu secara berbahaya itu dirakam orang awam pada jam 11.40 pagi sebelum dia ditahan di hadapan Balai Polis Sungai Karangan.
Kata beliau, hasil pemeriksaan mendapati bas henti-henti itu merupakan laluan Sungai Petani ke Baling dan ketika kejadian tiada penumpang dalam bas tersebut.
“Siasatan lanjut mendapati suspek yang berasal dari Taiping, Perak itu sudah berkhidmat selama dua tahun dengan syarikat bas yang beralamat di Kulim selain semakan juga mendapati cukai jalan serta insurans bas masih belum tamat tempoh.
“Hasil saringan air kencing mendapati suspek positif syabu selain semakan juga mendapati dia dikehendaki polis atas kesalahan tidak menghadiri pertuduhan penagihan dadah di Mahkamah Johor Bahru pada tahun 2019.
“Selain itu, suspek juga mempunyai 51 saman trafik yang mana lima daripadanya berstatus waran tangkap,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tambah Sazalee, suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut.
“Kita turut menyita bas berkenaan untuk siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengakutan Jalan 1986 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujar beliau. – MalaysiaGazette