Pegawai SWCorp Pahang menutup kawasan pelupusan sampah haram di Kuantan, Pahang

KUANTAN – Perbuatan kontraktor tidak bertanggungjawab membuang sisa dan sampah di tapak pelupusan sampah haram dalam tempoh 48 jam mengundang padah apabila bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.

Pengarah Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid berkata, pihaknya tidak akan berdiam diri dan terus mencari pelaku sehingga ditemui kerana perbuatan tidak bertanggungjawab itu akan merbahayakan kawasan sekitar.

Sharudin Hamid

Terdahulu MalaysiaGazette dimaklumkan perbuatan membuang tunggul, batang pokok, simen serta sampah industri dilakukan dengan berskala besar di kawasan tersorok daripada jalan utama Bukit Rangin.

Menurut Sharudin, maklumat awal yang diperolehi hasil semakan di lapangan mendapati terdapat sisa-sisa cantasan dan binaan di lokasi dan pihaknya akan mendapatkan maklumat lengkap dengan melakukan siasatan lanjut serta bantuan masyarakat setempat.

“Kita akan melihat melalui kamera litar tertutup dan mengenalpasti laluan utama untuk mendapatkan maklumat. Terdapat kesan kebakaran di kawasan tapak pelupusan sampah haram itu seolah-olah cuba menghapuskan bukti berkaitan.

“Difahamkan terdapat aliran sungai serta paip gas bawah tanah dan dibimbangi jika ada kegiatan kebakaran akan memusnahkan kawasan berhampiran,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurut Sharudin, kes disaisat di bawah Seksyen 71 (1) di bawah Akta 672  kerana melupuskan sisa di lokasi yang tidak dibenarkan yang boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 atau dipenjara bagi tempoh tidak kurang enam bulan atau tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast