ADUN Ulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad memengang seekor ayam segar pada Sidang Undangan Dewan Negeri di Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan, Perak. Foto Urusetia Dewan Negeri Perak 14 DISEMBER 2021.

IPOH – Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kecoh dengan tindakan wakil rakyat, Muhamad Arafat Varisai Mahamad (PKR-Hulu Kinta) yang membawa seekor ayam ketika sesi perbahasan Belanjawan 2022 Perak hari ini.

Muhamad Arafat memberitahu, tindakan itu dilakukan bagi menegur Razman Zakaria (Pas-Gunung Semanggol) yang merupakan Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak agar prihatin dengan masalah kenaikan harga barang.

Jelas beliau, ayam tersebut dibeli dari sebuah premis di kawasan DUN Gunung Semanggol sebagai bukti harga yang tinggi iaitu RM13.90 sekilogram.

Menurutnya, sebelum 7 Disember lalu, harganya kurang RM10 sekilogram berdasarkan harga kawalan musim perayaan yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

“Saya nak hadiahkan ayam ini sebab tak ada tindakan yang diambil oleh Exco. Saya nak tanya, ada tak dialog diadakan bersama peruncit, pengusaha dan pemborong untuk melihat di mana masalah sebenar kenaikan harga ini?

“Apa peranan Exco, adakah ada tindakan diambil? Saya sendiri buat kerja macam Exco contohnya, kita panggil pemborong, peruncit dan rakyat untuk dapatkan maklumat di mana salah silapnya di mana puncanya ke arah penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2022 Perak ketika Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-14 di sini hari ini.

Muhamad Arafat berkata, Exco kerajaan negeri terbabit perlu memahami keperitan rakyat akibat kenaikan harga barangan ketika ini.

Sementara itu, tindakan pemimpin pembangkang itu juga menarik perhatian beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain yang mencelah ketika sesi perbahasan tersebut.

Dalam pada itu, ketika sidang media selepas perbahasan itu, Muhamad Arafat menjelaskan isu harga ayam itu ditujukan kepada Razman kerana kenaikan harga barang berpunca di peringkat ladang.

Menurutnya, sesi dialog perlu diadakan dengan pengusaha dan mencari penyelesaian dengan mengawal harga di peringkat ladang sama ada pemberian subsidi atau sebagainya.

Dalam pada itu, Muhamad Arafat turut mencadangkan agar kerajaan kembali melantik seorang wakil kampung di dalam Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung berbanding tiga orang mewakili setiap parti di dalam kerajaan Perikatan Nasional. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.