Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad

IPOH – Kerajaan Perak telah melaksanakan pelbagai inisiatif melalui Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) sepanjang tahun ini bagi membantu peniaga kecil selepas terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif itu melibatkan bantuan khas one off RM300 kepada penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemberian diskaun bayaran air secara bersasar kepada pelanggan-pelanggan perniagaan atau industri yang terkesan.

Jelas beliau, inisiatif lain yang diberikan kerajaan negeri adalah pengecualian sewa gerai di bawah PBT, pengecualian bayaran pembaharuan lesen pusat kecantikan dan spa serta hotel yang berdaftar di bawah PBT.

“Turut disediakan, inisiatif kemudahan moratorium bayaran balik pinjaman Tabung Usahawan Yayasan Perak dan pinjaman mikro kredit Yayasan Bina Upaya.

“Bagi usahawan dalam sektor pelancongan, pelbagai bantuan khas one-off telah disediakan kepada penggiat industri pelancongan seperti agensi pelancongan dan pengembaraan, pengusaha hotel dan resort Pulau Pangkor, pengusaha hotel bajet, persatuan hotel, persatuan umrah, haji dan ziarah, pengurusan homestay serta persatuan dan NGO pelancongan,” katanya ketika sesi soalan pada Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd. Tarmizi Idris (BN-Kenering) yang ingin mengetahui usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan negeri bagi memastikan peniaga kecil yang terkesan dari pendemik Covid-19 untuk meneruskan perniagaan mereka.

Saarani menambah, kerajaan negeri yang tidak meminggirkan  usahawan dalam sektor pertanian apabila beberapa inisiatif yang memberi manfaat kepada para petani, penternak dan nelayan.

Ujar beliau, ia meliputi pemberian bantuan input ladang dan ternakan, pemberian benih dan peralatan aktiviti penuaian hasil pertanian, program pembangunan modal insan serta kotak makanan.

“Selain itu, Geran Geran Usahawan Perak (GeRUP) iaitu bantuan one off berjumlah RM3,000 disediakan yang bertujuan bagi membantu usahawan mikro bumiputera Negeri Perak yang tercicir dari mendapat bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) 1.0 dan GKP 2.0; dan

“Kerajaan Negeri melalui Sekretariat Pembangunan Usahawan (STeP) juga dengan kerjasama jabatan atau agensi telah mengadakan 62 program Quick Win melalui atas talian dan fizikal yang melibatkan 27,233 usahawan daripada pelbagai sektor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast