Loh Sze Yee. Foto: AMIRUL SHAUFIQ 14 DISEMBER 2021.

IPOH – Kerajaan Perak dilihat terlalu berhati-hati untuk membelanjakan wang dalam Bajet 2022 negeri yang dibentangkan pada Jumaat lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jalong, Loh Sze Yee berkata, dalam pasca pandemik Covid-19, kerajaan pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad sepatutnya perlu berbelanja lebih untuk merangsang semula ekonomi.

Pemimpin pembangkang dari DAP itu menjelaskan, ini kerana bukan semua sektor perniagaan dapat dipulihkan serta-merta selepas pembukaan ekonomi secara berperingkat.

“Kerajaan negeri terlalu was-was dalam menggunakan wang dalam Bajet 2022.

“Adakalanya betul seperti dalam perbahasan saya semalam kebiasaannya kerajaan akan bentang sesuatu bajet dan pembangkang akan suruh jimatkan duit.

“Tapi saya rasa ada kelainan di mana pembangkang iaitu saya dan rakan-rakan merasakan pada waktu sekarang kita perlu gunakan duit bukan sahaja untuk menaikkan ekonomi tapi mengurangkan kesakitan kepada mereka yang masih rasa tekanan.

“Ini kerana bukan semua boleh pulih serta-merta walaupun sektor ekonomi dibuka.

“Masih ramai lagi yang mengalami tekanan daripada pasca pandemik Covid-19,” katanya ketika ditemubual MalaysiaGazette sempena sidang Dewan Undangan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Pada Jumaat lalu, kerajaan negeri Perak memperuntukkan RM1.1 bilion bagi Bajet 2022.

Menurut Saarani, kerajaan negeri akan memperuntukkan sejumlah RM803 juta untuk belanja mengurus dan RM302 juta bagi belanja pembangunan negeri.

Bertemakan Perak Negeri Berdaya Tahan, Mampan dan Inklusif, Saarani berkata, ia akan memfokuskan kepada lima matlamat utama dalam memastikan kedudukan kewangan kekal teguh di masa akan datang.

Lima fokus itu adalah menjana semula ekonomi dan mengupayakan sara diri rakyat, memakmurkan dan mensejahterakan rakyat, mengukuhkan model insan dan pembangunan sosial, memantapkan tadbir urus dan pendigitalan serta memulihara khazanah alam sekitar.

Mengulas lanjut, Sze Yee berharap kerajaan negeri menangani segera kenaikan harga barang walaupun ia dijangka berlaku dalam tempoh tertentu sahaja.

Tegas beliau, pihak berkuasa tidak boleh duduk diam dan hanya menunggu harga turun semula pada masa akan datang.

“Kita mengakui kenaikan harga barangan akan berlaku hanya dalam tempoh tertentu.

“Namun kenaikan harga barang banyak menggunakan alasan kerana Covid-19 dan kerajaan tidak boleh berdiam diri menunggu seperti peribahasa Bahasa Inggeris burung unta yang letak dalam pasir sahaja di mana kita tak nampak masalah itu hilang.

“Sekiranya pun harga barang mungkin dapat selesai dalam tempoh tertentu namun kesan tetap ada apabila poket makin kering ketika menunggu harga itu turun.

“Kerajaan negeri kena selesai masalah secepat mungkin dan jangan tunggu sehingga selesai sendiri kerana ia bukan ditentukan kuasa pasaran,” katanya. – MalaysiaGazette